Cerita Ah Meng dan Omar, dan politik makan babi


Zainal Rashid Ahmad

SELASA lepas saya memilih Grab untuk ke Taipan, Petaling Jaya. Malas memandu dan leceh mencari lokasi dengan Google Map menyebabkan khidmat e-hailing jadi pilihan. Hal yang jarang berlaku tetapi selalunya akan ada impak dramatik kalau berada dalam Grab.

“25 tahun kerja pomen,” kata pemandu Grab, Ah Meng.

“Bisnes bas pesiaran sudah tidak laku. Kami tiga pomen dan 12 pemandu kena buang dengan pampasan RM4,000 ke RM6,000.” Katanya.

Saya simpati pada pemandu e-hailing ini ketika kami mula berbual: “Sekarang bawa Grab okay?”

Ah Meng senyum: “Bagus… saya kerja lapan jam sehari dan hanya lima hari seminggu. Dulu kerja 12 ke 15 jam sehari. Selalu on call bila hujung minggu.”

Orangnya bertubuh kecil tetapi fasih bahasa Melayu. Anak jati Kampung Pandan dan lahir tahun 1959.

Sejak kehilangan kerja sebagai pomen pada 2017, Ah Meng membeli Perodua Myvi dan mendaftar dengan e-hailing.

“Cuma, sejak berhenti kerja saya hilang banyak waktu sama kawan-kawan.

“Sudah 25 tahun saya hidup macam adik abang dengan kawan-kawan Melayu.” katanya.

Saya mendengar kisah kerjayanya; suku abad hidup sebagai pomen bas persiaran bukan satu kerja yang mudah.

Bas keluar masuk bengkel tidak ikut jadual. Apalagi setiap bas digunakan hampir setiap hari untuk perjalanan jauh tujuh hari seminggu.

Semua penyelenggaraan servis dan kerja baik pulih enjin yang rosak mesti dilakukan dengan cekap dan segera.

“Pagi buta sudah keluar kerja.

“Selalu juga balik tengah malam. Semua bas persiaran jalan pergi balik pusing Malaysia tiap hari.” Kata Ah Meng.

Sekarang kerja Ah Meng lebih santai dan sebagai seorang yang peramah, dunia e-hailing sangat sesuai dengan watak mesranya.

Dia nampak gembira apabila berkongsi pengalaman kerja lamanya.

“Sekarang mana mahu cari kawan baru. Saya kawan sama pomen dan pemandu 25 tahun. Hidup siang malam dengan mereka, ” katanya.

Masa berlalu dan kata Ah Meng, tidak mudah bagi 15 bekas pemandu dan pomen bas persiaran untuk mencari kerja.

Tiada jawatan yang akan diberikan pada pekerja kolar biru apabila diberhentikan pada usia lima puluhan.

Namun, bukan itu kesedihan utama. Bagi Ah Meng, yang benar-benar terasa hilang dalam hidupnya sejak berhenti kerja ialah nilai persahabatan.

“Saya raya puasa sangat sibuk.

“Hari pertama saja jam 12 tengahari suah pergi rumah kawan. Saya raya sama rancak dengan orang Melayu,” katanya.

Lelaki Cina ini pengamal agama Buddha yang taat. Itu difahami rakan-rakan Melayunya.

Pada masa sama, dia totok berpegang pada amalan budaya dan adat resam nenek moyangnya.

“Awak mesti halau saya kalau mahu makan satu meja masa rehat.

“Awak beli nasi bungkus, saya tapau isteri masak lauk babi.” katanya.

Di tempat kerja ketika pertama kali waktu rehat, Ah Meng pilih untuk makan berasingan di sudut bengkel.

Dia tidak duduk di meja kerana bimbang lauk babi akan menyinggung perasaan kawan-kawan Melayu.

“Itu nama Omar jerit saya. Ah Meng! Apa hal kau duduk situ?”

Saya jawab terus-terang: “Aku makan lauk babi.”

Kawan Melayu semua ketawa dan menjerit lagi: “Hoi! Makan sini. Bukan kami mahu makan kau punya lauk!”

Nampak wajah Ah Meng jelas terharu apabila mengimbau jauh kenangan silam. Wajahnya jelas gambaran seorang lelaki tua yang benar-benar berbangga dengan kenangan persahabatan masa lalu.

“Sejak itu saya minta isteri jangan masak babi. Masak ikan saja sebab saya mesti makan satu meja dengan kawan-kawan Melayu.” katanya.

Walaupun berbangsa Cina dan rakan-rakannya semua Melayu, Ah Meng bercerita mengenai ikatan persahabatan yang melampaui sempadan kaum dan agama.

Malah, ketika dia dibuli sekumpulan samseng pengedar dadah di sekitar rumahnya di Flat San Peng, rakan-rakan sekerjanya datang membantu.

“Saya badan kecil. Balik malam, itu tokan mesti kacau dan cakap biadap sama saya.

“Saya tau, satu hari itu geng mesti mahu pau wang saya.” katanya.

Memang benar terkaannya. Satu malam, dia dikepung dan diugut oleh empat lelaki.

Cuma, dompetnya di bawah tempat duduk motosikal. Samseng gagal merampas apa-apa, tetapi menampar kepalanya.

“Saya cakap sama Omar. Malam itu, semua kawan-kawan pemandu dan pomen turun sana San Peng dan cari itu samseng.

“Tengok saya bawa ramai geng, itu orang lari. Esok, tarak orang berani kacau saya lagi, ” cerita Ah Meng penuh bangga.

“Ah Meng,” kata saya dengan nada mengumpan: “Sana tempat kerja ada gaduh hal politik tak?”

Segera dia membalas: “Siapa peduli politik. Kami kuli saja. Kerja makan gaji mahu hidup pun payah. Apa hal mahu cakap dan buang masa gaduh politik?”

Saya terdiam. Ada rasa hendak ketawa kerana nada suara Ah Meng jelas menunjukkan dia pembenci politik.

Saya tidak sempat bertanya lanjut kerana dia segera menambah cakapnya.

“Kami kerja saja, bas keluar masuk hari-hari dalam bengkel. Sembang politik bikin sakit hati. Apa dapat?”

Saya mendesah dalam hati. Nampak jelas, Ah Meng anti politik. Tapi wartawan seperti saya tidak akan melepaskan peluang ini mencucuk jarum mencari jawapan.

“Sekarang semua orang mesti sokong PH atau BN?”

“Takkan tak ada gaduh politik?” tanya saya.

Dia jawab dengan wajah yang setengah bengang.

“Encik… kami 25 tahun kerja kuli pun sudah mau setengah mati.

“Kalau lagi cakap hal politik, kami semua terus matilah!”

Kali ini saya ketawa berdekah-dekah. Sangat kelakar mendengar jawapan yang sarkastik tetapi releven.

Terdetik di fikiran, sesekali pencinta tegar politik seperti saya wajar disekolahkan oleh rakyat marhaen seperti Ah Meng.

Sampai di Taipan 1 saya buka pintu dan mahu keluar. Tetapi masih tetap cuba mengumpan.

“Ah Meng, you masih jumpa itu kawan-kawan Melayukah?”

Dia ketawa.

“Ini hari minggu saya cuti. Omar punya anak mahu kahwin. Saya sama isteri akan pergi rumah dia dan satu hari mesti sibuk punya.”

Kali ini saya tidak ketawa.

Apabila kenderaan Ah Meng berlalu, saya terfikir.

“Apakah aku punya kawan politik seakrab Omar dan Ah Meng?”

Jawapannya jelas. Belum tentu ada!  – 25 Februari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen