SEORANG terbunuh dan puluhan lagi tertimbus dalam runtuhan lombong emas haram di Indonesia, lapor agensi bencana negara itu pada Rabu.
Para penyelamat di pulau Sulawesi bergegas mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan batu selepas ia menyebabkan tanah runtuh pada petang Selasa, kata agensi.
Sekurang-kurangnya satu mayat ditemui dan 13 yang lain cedera di kawasan Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara, kata kenyataan.
“Ketika puluhan orang sedang melombong emas di lokasi ini, tiba-tiba rasuk dan papan penyokong pecah kerana keadaan tanah yang tidak stabil,” kata jurucakap agensi bencana Sutopo Purwo Nugroho.
“Dianggarkan 60 orang tertimbus di bawah runtuhan tanah dan batu.”
Nasib semua mangsa runtuhan yang masih terperangkap belum diketahui.
Negara ini mempunyai banyak kawasan perlombongan emas tidak berlesen yang kebanyakannya tidak memenuhi standard keselamatan. – AFP, 27 Februari, 2019.
Komen