RUU355 kontroversi Hadi akan dibentangkan hari ini


Chan Kok Leong

SELEPAS berbulan spekulasi dan kebimbangan, usul persendirian berkaitan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 dibawa Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang diselitkan pada kedudukan pertama selepas sesi Soal-Jawab hari ini.

Ia dijangka dibentangkan sebelum tengah hari.

Ia boleh dimuat turun daripada Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Parlimen.

Ia menyatakan Hadi meminta kebenaran daripada Dewan Rakyat untuk mencadangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Usul itu bercadang meminda Seksyen 2 akta berkenaan  dengan menggantikan perkataan “dipenjarakan selama tempoh melebihi tiga tahun atau dengan apa-apa denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam sebatan” dengan “dipenjarakan selama tempoh melebihi 30 tahun atau dengan apa-apa denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan melebihi 100 kali”.

Sementara itu, Dewan Rakyat semalam berlangsung sesi marathon selama kira-kira 20 jam, berakhir pada sekitar jam 5 pagi ini.

Lima rang undang-undang kerajaan dibahas dan diluluskan sebelum Dewan Rakyat ditangguhkan pada jam 5 pagi.

Antara rang undang-undang yang dicadangkan untuk diterima pagi tadi ialah Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017, Cukai Pelancongan 2017, Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Minggu lalu, Presiden Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan membentangkan pindaan RUU355.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan parti komponen BN lain di Kuala Lumpur.

Najib menambah ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin sama ada untuk membenarkan usul itu dibahaskan di Parlimen.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail memberi notis undang-undang berhubung samannya terhadap Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah.

Tawfik memfailkan saman terhadap kedua-duanya pada 31 Mac. Dalam saman itu, beliau berkata rang undang-undang Hadi gagal mematuhi prosedur Parlimen dan terdapat kecacatan.

Beliau berkata usul Hadi akan menyebabkan konflik antara undang-undang jenayah dan undang-undang Syariah. – 6 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen