MUHAMMADU Buhari dipilih semula sebagai presiden Nigeria, menurut keputusan pilihan raya pada Selasa, selepas penangguhan yang membangkitkan kemarahan pengundi dan menyebabkan dakwaan berlakunya penipuan dan konspirasi.
Buhari, 76, mendahului lebih 4 juta undi ketika keputusan beberapa negeri terakhir belum diumumkan, menjadikannya ia tidak mungkin dimenangi pesaing terdekatnya, Atiku Abubakar.
Kemenangan itu disahkan ketika Abubakar menang di negeri terakhir, River tetapi tidak dapat menandingi Buhari.
Penyokong parti pimpinan Buhari, All Progressives Congress (APC) berkumpul di ibu pejabat pusat kempennya di ibukota, Abuja, untuk meraikan kejayaan sebelum keputusan akhir diumumkan.
Jurucakap Buhari, Garba Shehu, memaparkan gambar presiden di Twitter, menonton keputusan di televisyen. “#BuhariHasWon,” tulisnya.
Untuk memenangi jawatan presiden di Nigeria, seorang calon memerlukan majoriti undi di seluruh negara dan sekurang-kurangnya 25% sokongan dua pertiga dari 36 negeri di Nigeria dan FCT.
Keputusan awal menunjukkan Buhari memenangi 15,191,847 undi atau 56% undi manakala Abubakar daripada Parti Demokratik Rakyat (PDP) memenangi 11,262,978 undi atau 41%.
Buhari menang di 19 negeri - termasuk dua yang paling ramai, Lagos dan Kano - sementara Abubakar menang di 17 negeri dan FCT. – AFP, 27 Februari, 2019.
Komen