DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa meluluskan resolusi untuk menyekat Presiden Donald Trump daripada mendapatkan dana untuk membina tembok sempadan dengan Mexico melalui perisytiharan darurat dilakukannya.
Resolusi itu, yang kini dibentangkan kepada Senat yang dikawal oleh Parti Republik, diluluskan oleh Dewan yang dikuasai oleh Demokrat dengan margin selesa 245 berbanding 182.
Sebanyak 13 Republikan bergabung dengan Demokrat untuk menghalang deklarasi darurat.
Trump, selepas gagal memperoleh berbilion dolar untuk membina tembok sempadan daripada Kongres, mengisytiharkan darurat pada 15 Februari yang membolehkannya mendapatkan pendanaan daripada sumber lain, terutamanya bajet Pentagon untuk projek pembinaan ketenteraan.
Presiden mengancam menggunakan kuasa veto terhadap resolusi itu jika ia lulus Dewan dan Senat. – AFP, 27 Februari, 2019.
Komen