IRAN pada Selasa mengharamkan akhbar reformis Ghanoon untuk menerbitkan artikel mengenai pertemuan dan lawatan antara pemimpin tertinggi Iran dengan Presiden Syria Bashar al-Assad, lapor badan berita ISNA.
“Akhbar Ghanoon menerima makluman dan penerbitannya dihentikan kerana tajuk utama (front page) pada Selasa,” kata ISNA.
Perintah yang menyatakan Ghanoon akan “diharamkan sementara” dihantar kepada pengurusan akhbar, tanpa mengatakan berapa lama tempoh pengharaman.
Assad bertemu pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani pada Isnin semasa lawatan mengejut ke republik Islam, yang pertama kali sejak permulaan konflik Syria.
Agensi berita itu tidak menghuraikan artikel tentang mesyuarat mereka, tetapi versi dalam talian bertajuk “Tetamu Tidak Diundang”.
Ghanoon juga menerbitkan gambar muka depan Assad dan pemimpin tertinggi saling berpelukan.
Penerbitan reformis itu pernah diharamkan dua kali sebelum ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Satu daripadanya susulan karikatur yang dianggap “menyinggung pertubuhan kerajaan”, dan satu lagi adalah disebabkan laporannya mengenai penjara Iran yang bertajuk “24 Hours Damned”, menurut agensi berita Tasnim.
Iran menjadi sekutu utama yang menyokong Assad ketika ia berjuang untuk mengekalkan cengkamannya ke atas Syria selama hampir lapan tahun konflik dengan lebih 360,000 orang terbunuh.
Lawatan Assad ke Tehran juga bertepatan dengan pengumuman letak jawatan Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif melalui Instagram.
Menurut ISNA, Zarif tidak menghadiri sebarang mesyuarat.
Menteri itu tidak memberikan alasan peletakan jawatannya, tetapi agensi berita Entekhab mengatakan ia cuba menghubungi Zarif dan menerima mesej berikut: “Selepas foto mesyuarat hari ini, Javad Zarif tidak lagi mempunyai kredibiliti di dunia sebagai menteri luar negeri! ” – AFP, 27 Februari, 2019.
Komen