KUALITI udara dan jerebu di bahagian utara Thailand dijangka meruncing ketika lebih banyak tompok panas kebakaran hutan dikesan.
Jabatan Kawalan Pencemaran (PCD) Thailand berkata setakat 9 pagi hari ini, sejumlah 53 tompok panas dikesan dan wilayah Nan dan bahagian utara Thailand mencatat jumlah tertinggi diikuti oleh wilayah Tak (enam) dan Lamphun (lima), Chiang Mai (empat), Phrae (tiga), Phayao (dua), Chiang Rai, Mae Hong Son dan Lampang (masing-masing satu).
“Sembilan wilayah di Thailand Utara mencatat PM2.5 antara 32 hingga 88 mikrogram semeter padu (µg/m³), yang melebihi paras selamat,” katanya.
(PM 2.5 adalah campuran titisan cecair dan jisim pepejal termasuk debu, jerebu dan asap. Ia merupakan satu dari bahan cemar utama dalam mengukur Indeks Kualiti Udara (AQI).
Setakat 5 petang (waktu tempatan) hari ini, PCD dalam maklumat terbaru mengenai situasi dan kualiti udara, melaporkan Indeks Kualiti Udara (AQI) di Mae Mo berada pada 195, Wiang (177) dan Phra Bat (175).
Bacaan kosong hingga 25 dianggap cukup baik, memuaskan (26-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200) dan amat tidak sihat (lebih 201).
Bagi bacaan PM2.5, Mae Mo dalam wilayah Lampang mencatatkan 88 µg/m³, tertinggi dan diikuti oleh Wiang (daerah kecil) di wilayah Phayao (81 µg/m³) dan Phra Bat, Mueang di wilayah Lampang (80 µg/m³).
Sementara itu, Wancharat Khodkam, 44, seorang suri rumah dari wilayah Chiang Mai berkata penduduk tempatan menghadapi risiko menghidap penyakit berkaitan jerebu berikutan asap dan kualiti udara yang tidak sihat.
“Mata saya mengalami kegatalan berikutan wujudnya jerebu di sini. Anak lelaki saya juga jatuh sakit,” kata beliau.– Bernama, 26 Februari, 2019
Komen