Elakkan prasangka kaum, kata Anwar berhubung kenyataan Nazri 


Looi Sue-Chern

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Februari, 2019

TIADA sebab untuk mempersoalkan integriti pegawai kerajaan berdasarkan kaum atau agama mereka, kata Anwar Ibrahim hari ini. 

Presiden PKR itu berkata, yang menjadi isu hanyalah sama ada mereka menjalankan tugas mereka dengan profesional. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz berhubung pelantikan bukan Islam bagi jawatan peguam negara, ketua hakim dan menteri kewangan.

Nazri dalam ucapannya ketika berkempen pada pilihan raya kecil Semenyih berkata ketiga-tiga mereka tidak boleh bersumpah dengan al-Quran. Ketiga-tiga mereka - Tommy Thomas, Richard Malanjum dan Lim Guan Eng - merupakan penganut Kristian.

Nazri mendakwa, sekiranya peguam negara bukan Bumiputera, terdapat kecenderungan untuk berat sebelah.

Anwar berkata, di Barat, Kristian akan mengangkat sumoah dengan Bible, sebagaimana umat Islam bersumpah dengan al-Quran.

“Tidak wajar mencadangkan sebaliknya. Tetapi adalah penting untuk memberi sokongan kepada mana-mana pegawai untuk menjalankan urusannya secara profesional untuk keadilan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

Anwar berkata walaupun orang Melayu menyatakan pandangan sedemikian terhadap tiga lantikan itu, integriti mereka tidak sepatutnya dipersoalkan sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Sekiranya mereka terus bekerja dan tiada yang mencadangkan atau mengesyaki keputusan mereka tidak adil, tiada sebab untuk kita mempersoalkan integriti mereka.

“Ramai orang Melayu yang dipercayai dengan pekerjaan mereka telah melakukannya dengan baik. Tetapi ada juga yang tidak mampu, tidak adil dan korup. Ia sama dengan orang bukan Melayu.

“Adalah penting bagi pegawai untuk melakukan pekerjaan mereka secara profesional, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukannya kepada Nazri jika dia membalas kenyataan, Anwar berkata persekitaran di Malaysia berbeza sekarang, lebih demokratik berbanding sebelum ini.

“Kita benarkan dan menghormati (kebebasan bersuara) tetapi kita juga perlu beri ruang untuk membalas,” katanya.

Anwar berkata kebimbangan orang Melayu yang lain, seperti kemiskinan, ketidakadilan dan peminggiran boleh ditangani, tetapi ia tidak ada kaitan dengan latar belakang kaum dan agama pegawai kerajaan.

“Kita perlu elak prasangka kaum,” katanya.

Nazri menerima kritikan berhubung kenyataannya dalam ucapan politik beliau yang turut menyentuh mengenai penutupan sekolah vernakular.

Beliau menafikan dirinya rasis, dan berkata beliau percaya semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang perlu dipertahankan, dan sekolah vernakular perlu terus diwujudkan.

Nazri semalam dipanggil oleh polis untuk disoal siasat berhubung ucapannya. – 26 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen