KERAJAAN dapat menjimatkan RM5.3 bilion wang rakyat dalam pengambilalihan konsesi empat lebuh raya Lembah Kelang dan pembekuan kenaikan kadar tol, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya, jumlah itu akan dapat dijimatkan sekiranya pengambilalihan ke atas konsesi lebuh raya yang dipegang syarikat Gamuda Bhd itu dilakukan dengan adil.
Tegasnya, langkah itu menunjukkan kerajaan serius melaksana manifesto pilihan raya kerana hasil kutipan dari empat lebuh raya berkenaan hampir separuh daripada keseluruhan pasaran lebuh raya bandar.
“Ini mewakili penguasaan yang besar dalam lebuh raya antara bandar dan menujukkan kerajaan serius dan komitmen kerajaan dalam langkah awal melaksana manifesto pilihan raya kami,” katanya.
Tambahnya, pengambilalihan berkenaan akan mengambil masa sehingga enam bulan kerana perlu mengambil kira keperluan perundangan, kawal selia dan kewangan.
Selepas itu, kerajaan akan memansuhkan sistem kutipan tol dan menggantikannya dengan model caj kesesakan di lebuh raya tersebut.
“Pengguna dapat menjimatkan RM180 juta setiap tahun hasil apabila langkah itu mengurangkan kesesakan jalan raya semasa waktu puncak,” katanya.
Tambahnya, kutipan caj kesesakan tersebut memadai untuk menanggung hutang yang terhasil dengan pengambilalihan tersebut.
“Kutipan itu juga memadai untuk membiaya operasi serta penyelenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan sebarang peruntukan tambahan dari Kementerian Kewangan.
“Apa-apa lebihan yang terhasil daripada kutipan tersebut akan digunakan untuk menaiktaraf dan menyelenggara sistem pengangkutan awam,” tambahnya.
Kerajaan pada Sabtu lalu mengumumkan empat lebuh raya yang akan diambil alih adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.
Kaedah kutipan caj kesesakan itu nanti akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak. – 26 Februari, 2019
Komen