CHINA berharap pertemuan antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bakal mengorak lagi langkah proaktif dan membuka lembaran baharu ke arah mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.
Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian di Beijing sehari sebelum berlangsungnya sidang kemuncak kedua antara Trump dan Kim di Hanoi, selama dua hari bermula 27 Februari, lapor agensi berita Yonhap.
“Tahun ini, seluruh dunia berdepan pelbagai cabaran. Sidang kemuncak kedua itu diharap dapat mengorak langkah baharu bagi mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea,” katanya.
Kim, tiba di Hanoi pada Selasa selepas menempuh lebih 60 jam perjalanan dengan menaiki kereta api dari Pyongyang.
Kim pernah melawat Beijing awal bulan lepas dan mengadakan sidang kemuncak keempat dengan Presiden China, Xi Jinping.
Antara agenda yang akan menjadi tumpuan Kim dan Trump ialah mengenai kesepakatan yang dicapai pada pertemuan pertama di Singapura Jun lalu.
Kedua-dua pihak dikritik kerana dilihat gagal mengambil langkah konkrit untuk merealisasikan apa yang dipersetujui mengenai Semenanjung Korea. – Bernama, 26 Februari, 2019.
Komen