Kedua-dua tulang rusuk Adib retak, hasil bedah siasat


Timothy Achariam

Pengarah Unit Rawatan Rapi IJN, Dr Suneta Sulaiman berkata tidak ada trauma pada rusuk Adib ketika dia dimasukkan IJN. - Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Februari 2019.

HASIL bedah siasat ke atas mayat Muhammad Adib Mohd Kassim mendapati anggota bomba itu patah tulang di bahagian kanan dan kiri rusuknya.

Adib mula dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dia cedera dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield.

Imbasan CT dan x-ray menunjukkan Adib patah tulang belakang dan pada anterior kanannya.

Imbasan CT yang kemudiannya dilakukan selepas kamatian Adib menunjukkan tulang belakang di bahagian rusuk kirinya juga patah.

Pengarah Unit Rawatan Rapi IJN Suneta Sulaiman yang memberikan keterangan di mahkamah koroner hari ini berkata, tidak mustahil imbasan CT yang awal tidak dapat mengesan tulang Adib patah di sebelah kiri.

“Tulang yang patah di sebelah kirinya tidak dapat dilihat sama ada di situ (patah tulang semasa pemeriksaan awal CT) atau tidak, sukar nak dijelaskan,” katanya kepada mahkamah.

Dia menjelaskan untuk mengalamai kecederaan patah tulang rusuk seperti yang dialami Adib, perlu ada kesan signifikan ke atas kawasan tulang berkenaan.

“Sepanjang pesakit bersama kami dari SJMC tidak ada kesan trauma pada tulang rusuknya.

“Tidak ada apa-apa yang jatuh pada Adib. Kami tidak melakukan prosedur di kawasan itu. Tidak mungkin kecederaan itu berlaku semasa dia berada di hospital,” katanya kepada Koroner Rofiah Mohamad Mansor.  – 26 Februari, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen