KARDINAL Australia George Pell, salah seorang penasihat paling rapat dengan Paus Francis, didapati bersalah atas dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki dari pasukan koir gereja, menjadi paderi Katolik paling kanan pernah disabitkan atas tuduhan jenayah seks kanak-kanak.
Juri di Australia sebulat suara mendapati Pell bersalah dalam satu tuduhan penderaan seksual terhadapnya dan empat tuduhan serangan tidak senonoh terhadap dua kanak-kanak lelaki di Gereja Saint Patrick, Melbourne pada 1990-an.
Pell, kini 77, dituduh mengasingkan dua kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 12 dan 13 tahun – di sebuah gereja selepas acara keagamaan pada Ahad dan memaksa mereka melakukan perbuatan seks terhadapnya.
Paderi itu yang dibenarkan ikat jamin, menafikan semua tuduhan dan perbicaraan awal berakhir dengan keputusan tergantung pada September, tetapi beliau disabitkan bersalah dalam perbicaraan semula pada 11 Disember.
Pelbagai tekanan dalam kes itu membawa kepada hakim melarang media melaporkan, termasuk kewujudan prosiding mahkamah dan perbicaraan sejak Mei.
Perintah itu ditarik balik ketika perbicaraan pada Selasa ketika pendakwa raya memutuskan untuk perbicaraan kedua dengan tuduhan berasingan terhadap Pell sejak 1970-an.
Vatican belum memberi maklum balas tetapi Pell bertegas mengatakan tidak bersalah. – AFP, 26 Februari, 2019.
Komen