PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un tiba di Vietnam hari ini selepas perjalanan panjang menaiki kereta api bagi menghadiri sidang kemuncak kedua bersama Presiden Donald Trump, dengan dunia memerhati dan menunggu perkembangan kukuh berhubung program nuklear Korea Utara.
Susulan pertemuan bersejarah di Singapura pada Jun yang menghasilkan kenyataan agak samar tentang senjata nuklear Kim, penganalisis berkata sidang kemuncak kali ini di Hanoi perlu meletakkan satu keputusan lebih muktamad.
Kereta api Kim berwarna hijau zaitun tiba di stesen Dong Dang selepas melakukan perjalanan sejauh 4,000km, kembara selama dua hari setengah, secara rahsia.
Kanak-kanak sekolah melambaikan bendera Korea Utara dan pengawal kehormat beruniform putih menyambut ketibaan Kim, pemimpin pertama Korea Utara yang melawat Vietnam sejak lawatan datuknya Kim Il Sung pada 1964.
Kawalan keselamatan sangat ketat dengan tentera Vietnam bersiap sedia dengan senjata dan polis mengawal kawasan itu. Pihak berkuasa menutup laluan jalan sejauh 170km menuju Hanoi yang akan digunakan oleh Kim.
Trump menggunakan kaedah pengangkutan konvensional dengan menaiki pesawat Air Force One dan dijangka tiba di Hanoi lewat hari ini. – AFP, 26 Februari, 2019.
Komen