Tunjuk perasaan kian memuncak, presiden Sudan keluar 5 perintah darurat


Presiden Sudan Omar al-Bashir mengisytiharkan perintah darurat di seluruh Sudan selama setahun serta membubarkan semua kerajaan di peringkat pusat dan negeri susulan tunjuk perasaan kebangsaan sejak 19 Disember tahun lepas. – Gambar EPA, 26 Februari, 2019.

PRESIDEN Sudan Omar al-Bashir pada Isnin mengeluarkan dua perintah darurat yang memberi kuasa lebih luas kepada pasukan keselamatan biasa dalam usaha membendung gejala rasuah susulan tunjuk perasaan yang semakin meningkat di seluruh negara Afrika itu.

Agensi berita China Xinhua melaporkan perintah pertama memberi kuasa kepada polis, tentera dan pasukan keselamatan lain untuk memasuki serta menggeledah mana-mana bangunan atau individu, memantau mana-mana harta dan merampas wang, kedai, komoditi atau apa-apa sahaja yang disyaki melanggar undang-undang.

Perintah itu juga memberi kuasa kepada pasukan keselamatan biasa untuk menyekat atau menganjurkan aktiviti rakyat, kaedah pengangkutan dan komunikasi serta menahan mana-mana orang yang disyaki terlibat dalam jenayah berkaitan keadaan darurat.

Perintah kedua melarang mana-mana kakitangan awam mengeksploitasi pihak berkuasa atau pengaruh pekerjaan awam untuk mencapai kepentingan peribadi atau faedah haram.

Ia melarang kakitangan awam membuat apa-apa kontrak atau memasuki sebarang interaksi yang boleh memberi komitmen kepada kerajaan bagi menentang pembelian secara sah dan peraturan kontrak.

Presiden Sudan turut mengeluarkan tiga larangan darurat berhubung perhimpunan awam, berurusan dalam mata wang asing; mengedar, menyimpan, menjual dan mengangkut produk petroleum serta komoditi bersubsidi.

Al-Bashir pada Jumaat mengisytiharkan perintah darurat di seluruh Sudan selama setahun serta membubarkan semua kerajaan di peringkat pusat dan negeri susulan tunjuk perasaan kebangsaan sejak 19 Disember tahun lepas berikutan keadaan ekonomi yang semakin merosot selain kenaikan harga komoditi asas. – Bernama, 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen