Menteri luar Iran letak jawatan melalui Instagram


Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif mengumumkan peletakan jawatannya beberapa jam selepas lawatan mengejut Presiden Syria Bashar Al-Assad ke Tehran. – Gambar EPA, 26 Februari, 2019.

MENTERI Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, yang menjadi perunding utama dalam perjanjian nuklear 2015, mengumumkan perletakan jawatannya di Instagram semalam, yang hanya berkuatkuasa selepas Presiden Hassan Rouhani menerimanya.

“Saya memohon maaf kerana ketidakupayaan saya untuk terus berkhidmat dan untuk semua kekurangan semasa tempoh saya bertugas,” kata Zarif dalam mesej yang disiarkan di akaun Instagram yang disahkan.

Zarif mengucapkan terima kasih kepada Iran dan para pegawai di atas sokongan mereka sejak 67 bulan lalu.

Peletakan jawatan diplomat terkemuka Iran itu disahkan oleh sumber, namun ketua kakitangan Rouhani menafi keras laporan yang presiden menerima peletakan jawatan Zarif dalam Twitter.

Peletakan jawatan itu beberapa jam selepas lawatan mengejut Presiden Syria Bashar Al-Assad ke Tehran.

Bagaimanapun, menurut agensi berita Isna, Zarif tidak hadir di mana-mana mesyuarat Assad dengan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamanei dan Rouhani.

Para ahli Parlimen terkemuka menggesa agar Rouhani tidak menerima peletakan jawatan itu.

“Tidak dinafikan, rakyat Iran, kerajaan dan negara tidak akan mendapat manfaat daripada peletakan jawatan ini,” kata Mostafa Kavakebian, seorang ahli Parlimen reformis.

“Majoriti ahli Parlimen menggesa agar presiden tidak akan menerima peletakan jawatan ini,” katanya dalam Twitter.

Ketua keselamatan dan suruhanjaya dasar luar negara memberitahu Isna perancangan lawatan ke Geneva bersama Zarif petang semalam dibatalkan pada saat akhir tanpa penjelasan.

“Saya tiba-tiba mendapat mesej teks mengatakan lawatan dibatalkan,” Heshmatollah Falahatpisheh memberitahu Isna, sambil menambah ini bukan kali pertama Zarif meletak jawatan tetapi “tindakannya secara terbuka bermakna beliau mahu presiden menerimanya kali ini”.

Zarif, 59, berkhidmat sebagai menteri luar Rouhani sejak Ogos 2013 dan berada di bawah tekanan dan kritikan berterusan oleh golongan tegar yang menentang dasar detente dengan Barat.

Zarif dipersalahkan oleh ultra-konservatif kerana rundingan buruk yang tidak memperoleh sebarang manfaat bagi Iran untuk semua konsesi yang dibuat dalam program nuklearnya. – AFP, 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen