Lelaki terima pampasan AS$21 juta selepas tersalah hukum


SEORANG penduduk California yang menghabiskan usianya selama 39 tahun di penjara selepas didapati bersalah bagi pertuduhan membunuh bekas teman wanita dan anak lelakinya yang berusia empat tahun menerima pampasan AS$21 juta, kata pihak berkuasa.

Craig Coley, 71, disabitkan dengan pembunuhan Rhonda Wicht, 24, dan anaknya, Donald pada 1978 dan dihukum penjara tanpada parol pada 1980.

Beliau dibebaskan hampir empat dekad kemudian dan diampunkan gabenor ketika itu, Jerry Brown, hasil bukti baharu DNA menunjukkan beliau tidak bersalah.

Ketika mengumumkan pampasan pada Sabtu, bandar Simi Valley berkata ia bersetuju dengan pembayaran itu bagi mengelakkan kos litigasi yang mahal.

“Walaupun tiada jumlah wang yang boleh menebus apa yang berlaku kepada Encik Coley, penyelesaian kes ini adalah perkara yang betul dilakukan untuk Encik Coley dan komuniti kami,” kata pengurus bandar Eric Levitt dalam satu kenyataan.

“Kos kewangan untuk perbicaraan adalah astronomi dan ia tindakan tidak bertanggungjawab bagi kami untuk melakukannya.”

Tahun lepas, Coley juga dianugerahkan hampir AS$2 juta dolar - yang mewakili AS$140 bagi setiap hari beliau dipenjarakan secara salah - oleh Lembaga Pampasan Mangsa California.

Veteran tentera laut, yang secara konsisten mengatakan dirinya tidak bersalah, disabitkan berdasarkan kesaksian seorang jiran yang melaporkan melihat truknya meninggalkan tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa didapati dibunuh di tempat tidur mereka. Wicht dipukul, diperkosa dan dicekik sehingga mati sementara anaknya ditekup muka.

Pada 2016, polis dan pendakwa membuka semula siasatan selepas menemui bukti DNA baharu. Sperma yang terdapat pada katil Wicht tidak sepadan dengan Coley.

Penyiasat juga mengenal pasti kemungkinan suspek lain dan memutuskan jiran yang melaporkan melihat traknya meninggalkan tempat kejadian melalui tingkap tidak dapat melihat kenderaan itu kerana cahaya yang malap.

Peguam Coley Ron Kaye berkata beliau berharap perjanjian penyelesaian akan membantu anak guamnya mencari penutupan.

“Beliau kini boleh menjalani sisa hidupnya, yang kami harap dalam keadaan baik dengan jaminan selayanya,” katanya kepada Los Angeles Times. – AFP, 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen