DAP bertanggungjawab terhadap lantikan orang bukan Melayu untuk memegang jawatan penting seperti peguam negara, ketua hakim dan menteri hal ehwal undang-undang, kata pemimpin PAS dalam ceramah sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata DAP mengawal kerajaan dan Putrajaya.
“Kami ragu dengan sistem perundangan dan badan kehakiman yang tidak berada di bawah cengkaman orang Islam.
“Apabila kita bangkitkan isu ini, mereka kata kita bersikap rasis, tetapi mereka telah merebut semua tiga posisi ini dan tidak beri muka kepada orang kita,” katanya dalam satu ceramah di Kampung Sungai Purun, Semenyih malam tadi.
Jawatan tersebut dipegang oleh Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Richard Malanjum dan Menteri Hal Ehwal Undang-undang Liew Vui Keong.
Nasrudin juga mendakwa, malah DAP telah berusaha agar mereka memperoleh jawatan itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
“Mereka menjayakan objektif DAP. Mereka juga dilihat gagal menegakkan keluhuran undang-undang.
“Saya tidak terkejut sekiranya mereka bertangguh dalam mengambil tindakan terhadap perkara tertentu.”
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga mempersoalkan tindakan Thomas terhadap seorang lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
“Adakah kami yakin Peguam Negara (Thomas) ini akan bertindak? Jika kita tidak bising, mereka tidak akan bertindak.
“Jika kita biarkan maka mereka akan memperlekehkan agama kita,” katanya.

Semalam, seorang lelaki berusia 68 tahun yang ditahan kerana didakwa menghina Nabi Muhammad di Facebook dibebaskan dengan jaminan polis.
Asyraf berkata jika Jabatan Peguam Negara menangguhkan tindakan, mereka akan mengadakan perhimpunan protes di Putrajaya. – 26 Februari, 2019.
Komen