SEORANG bekas datuk bandar Rome hari ini menerima hukuman penjara enam tahun kerana terlibat dalam jenayah terancang.
Gianni Alemanno, datuk bandar dari 2008 hingga 2013 berkata beliau dan pasukan peguamnya memfailkan rayuan sebaik sahaja hakim membacakan keputusan.
“Saya tidak bersalah, saya sudah banyak kali katakan saya tidak bersalah, dan saya akan ulanginya di depan hakim ketika rayuan,” katanya yang disabitkan atas tuduhan rasuah.
Dalam skandal Mafia Capitale pada 2015, penyiasat mendedahkan rangkaian salah guna kuasa dalam kes jenayah, terhadap ahli perniagaan dan ahli politik. Pendedahan itu menyaksikan 46 individu dihadapkan ke mahkamah.
Alemanno dituduh menerima lebih daripada 200,000 euro (AS$230,000) dari pelbagai sumber sebagai habuan memberi jawatan tinggi kepada seorang tokoh penting dalam skandal rasuah itu.
Pihak pendakwaan juga berkata beliau mengarahkan supaya dana milik bandar dimasukkan ke dalam koperasi yang diuruskan oleh seorang lagi tokoh penting dalam skandal sama. – AFP, 25 Februari, 2019.
Komen