Saya ke sana hanya untuk hentikan kekecohan, kata timbalan menteri


Noel Achariam

TIMBALAN menteri menolak dakwaan dirinya terbabit dalam insiden yang berlaku di luar pejabat penerbitan akhbar berbahasa Tamil hari ini.

M. Saravanan yang merupakan timbalan menteri belia dan sukan mengakui ke pejabat akhbar Tamil Malar di Jalan Ipoh, tetapi beliau ke sana hanya untuk meleraikan pertengkaran antara pemuda MIC dengan kakitangan akhbar terbabit.

Heboh di media sosial berhubung insiden itu dan ramai yang mendakwa Saravanan menjadi dalang di sebalik kekecohan terbabit. Bagaimanapun kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

“Saya ke sana hanya untuk meleraikan dan meminta kedua-dua pihak bersurai. Tiada sebarang pergaduhan hanya tolak menolak dan tiada siapa pun yang masuk ke pejabat Tamil Malar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kejadian itu berlaku apabila beberapa pemuda MIC ke pejabat Tamil Malar untuk meminta penjelasan berhubung artikel mengenai MIC yang diterbitkan akhbar itu.

“Pejabat berkenaan tutup, jadi pemuda berkenaan minum teh tarik di gerai bersebelahan pejabat berkenaan.

“Kemudian dua kakitangan akhbar terbabit keluar dan membuat provokasi kepada pemuda berkenaan sehingga mencetuskan pertengkaran antara kedua belah pihak,” katanya dan menambah beliau ketika itu berada di pejabatnya yang terletak hanya seberang jalan dari pejabat akhbar terbabit.

 Saravanan berkata, sebaik sahaja mendengar  kekecohan itu, beliau ke pejabat akhbar berkenaan dan meminta kedua-dua pihak bersurai

“Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis. Jadi kita serahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Saravanan turut menyangkal dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh Tamil Malar terhadap pemimpin MIC Wilayah Persekutuan.

“Dua hari lalu Tamil Malar menulis tuduhan yang tidak berasas mengenai kepimpinan MIC Wilayah Persekutuan dan hartanah MIC tanpa sebarang fakta.

“Semalam, kami bangkitkan isu ini pada mesyuarat MIC dan semua isu dibangkitkan oleh Tamil Malar dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Editor Tamil Malar Navaneetha Krishnan berkata, pemuda MIC datang ke pejabat akhbar itu pagi ini dan menyerang Thiagrajan dan Saraswathy.

Navaneetha juga berkata ketika berlaku pergelutan Saravanan berada di kawasan itu. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen