“GREEN BOOK,” sebuah filem drama komedi arahan Peter Farrelly, menggondol kategori Filem Terbaik pada Anugerah Akademi ke-91 (Oscar) di Teater Dolby, Hollywood yang terletak di barat bandaraya Los Angeles pada Ahad malam, lapor agensi berita China Xinhua.
Filem itu menewaskan beberapa saingan sengitnya iaitu Black Panther, BlacKkKlansman, Bohemian Rhapsody, The Favorite, Roma, A Star Is Born dan Vice.
Berlatar belakang era pada tahun 1960-an, Green Book berkisar tentang pemain piano klasik dan jazz berketurunan Afrika-Amerika iaitu Don Shirley dan Tony Vallelonga, seorang kaki pukul berketurunan Itali-Amerika yang menjadi pemandu dan pengawal peribadi Shirley, sedang mengadakan jelajah di bahagian selatan yang terpisah akibat sikap perkauman.
“Keseluruhan filem ini adalah berkisar tentang kasih-sayang. Ia tentang sikap saling menyayangi meskipun terdapat perbezaan antara kita. Dan mencari kebenaran tentang siapa kita, kita adalah serupa,” kata Farrelly.
Filem itu turut merangkul dua anugerah Oscar lain pada Ahad menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Skrip Asal Terbaik.
Mahershala Ali, yang mendukung peranan sebagai pemain muzik jazz dalam filem itu, dinobat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Alibaba Pictures dari China adalah pembiaya bersama Green Book menerusi perkongsiannya dengan Amblin Partners, yang menerbitkan filem itu bersama Participant Media. – Bernama, 25 Februari, 2019.
Komen