3 maut, 6 cedera insiden tembakan berhampiran mahkamah Afrika Selatan


TIGA orang terbunuh dan enam cedera dalam kejadian tembakan di blok apartmen berhampiran Mahkamah Tinggi Durban pada Isnin, kata polis dan medik Afrika Selatan.

“Terdapat kejadian tembakan dan tiga orang maut. Seorang daripadanya anggota polis Metro,” kata jurucakap polis, Thembeka Mbele, kepada AFP.

Kematian lain adalah dua wanita yang belum dikenal pasti.

Garrith Jamieson, pengarah operasi dengan perkhidmatan kecemasan Rescue Care berkata lima daripada enam yang cedera memerlukan rawatan hospital.

Ketika para medik tiba di tempat kejadian, mereka melihat pertumpahan darah, kata Jamieson.

Kejadian berlaku di tingkat satu blok pangsapuri yang terletak berhampiran Mahkamah Tinggi di bandar ini.

November lalu, seorang pegawai polis tidak bertugas melepaskan tembakan di dalam sebuah mahkamah bercerai di bandar yang sama, membunuh isteri dan abangnya semasa prosiding undang-undang berehat.

Insiden itu berlaku di tingkat lapan bangunan majesret serantau itu ketika mahkamah mendengar petisyen untuk membatalkan perkahwinan pasangan itu. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen