Suspek rampasan pesawat Bangladesh guna pistol palsu


Suspek yang merampas pesawat Biman Airlines, BG 147 itu mendakwa mempunyai masalah rumahtangga. Dia mati akibat cedera ditembak pasukan komando Bangladesh. – Gambar EPA, 25 Februari, 2019.

SUSPEK perampas pesawat yang mati akibat cedera ditembak komando Bangladesh membawa pistol palsu dan memberitahu perunding dia mahu merampas pesawat berkenaan kerana mempunyai masalah rumahtangga, kata pihak berkuasa.

Suspek berusia 25 tahun itu meninggal dunia akibat cedera ditembak selepas menjadikan beberapa anak kapal pesawat Biman Airlines sebagai tebusan, memaksa pesawat itu membuat pendaratan cemas di lapangan terbang Chittagong lewat malam semalam.

Seramai 134 penumpang dan 14 anak kapal dibebaskan tanpa mengalami kecederaan.

“Suspek berkata dia mempunyai masalah dengan isterinya dan mahu bercakap dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina,” kata pengurus lapangan terbang, Komander Sarwar-e-Jaman.

Pesawat BG 147 mahu berlepas ke Dubai dari Dhaka melalui Chittagong ketika kejadian rampasan.

Suspek yang hanya dikenali sebagai Mahadi dilaporkan memegang pistol ketika berada di dalam kabin dan cuba masuk ke dalam kokpit, lalu memaksa pendaratan cemas dilakukan.

Seorang penumpang memberitahu wartawan suspek mungkin melepaskan dua das tembakan, tetapi Pengerusi Jabatan Penerbangan Awam, Masrhal Air Vice Nayeem Hasan berkata pistol itu adalah palsu.

“Menurut penumpang yang melihatnya, pistol itu adalah palsu,” kata Hasan.

Pihak berkuasa ketika ini sedang memberi tumpuan bagaimana suspek berjaya membawa masuk senjata palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.

“Siasatan sedang dijalankan,” katanya. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen