Polis Indonesia tahan 3 suri rumah berhubung video fitnah Jokowi


Presiden Joko Widodo didakwa akan mengharamkan azan dan membenarkan perkahwinan sejenis sekiranya dipilih sebagai presiden Indonesia sekali lagi. – Gambar EPA, 25 Februari, 2019.

TIGA suri rumah warga Indonesia ditangkap berhubung video dalam talian yang mendakwa Presiden Joko Widodo akan mengharamkan azan dan membenarkan undang-undang perkahwinan sesama jenis di negara majoriti Islam jika dipilih semula, kata polis pada Isnin.

Widodo menangkis tuduhan itu dengan dengan bukti Islamnya sejak bertahun lamanya, dakwaan ditimbulkan semula menjelang pemilihan presiden pada April.

Indonesia juga giat memerangi gelombang berita dan maklumat palsu dalam talian menjelang pilihan raya.

Video yang dikongsi ribuan kali dalam talian, menunjukkan dua wanita bertudung memberitahu seorang lelaki tua yang Widodo akan menghentikan azan.

Beliau juga akan memaksa wanita membuka tudung mereka di khalayak ramai dan menghalalkan perkahwinan sejenis, yang banyak ditentang di Indonesia, menurut video itu.

Widodo, yang pertama kali dipilih pada 2014, adalah seorang Islam dan tidak pernah secara terbuka berusaha ke arah langkah yang disebutkan dalam video itu.

Tiga wanita “dikaitkan” dengan video itu ditangkap oleh polis wilayah Jawa Timur pada Ahad kerana menyebarkan maklumat salah.

Tetapi polis tidak mengulas lanjut mengenai peranan mereka.

“Ini adalah langkah pencegahan kerana ini (video) berpotensi mencetuskan kebimbangan dan konflik dalam masyarakat kita,” kata jurucakap polis tempatan Trunoyudho Wisnu Andiko memberitahu sidang akhbar pada Isnin.

Sekiranya disabitkan, ketiga-tiga wanita itu boleh dipenjara enam tahun kerana menyebarkan ucapan kebencian dan melanggar undang-undang maklumat elektronik. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen