Amerika sifatkan kekuasaan Maduro bakal berakhir


SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Ahad menyifatkan pentadbiran Presiden Venezuela Nicolas Maduro “tidak akan kekal dan bakal berakhir tidak lama lagi”, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik Fox News.   

“Kami amat berharap dalam masa beberapa hari, minggu dan bulan berikutnya, rejim Maduro akan memahami bahawa rakyat Venezuela menjadikan tempoh beliau berkuasa semakin terhad,” kata Pompeo dalam satu temu bual dengan Fox News pada Ahad.

Beliau membuat kenyataan itu sehari selepas sekurang-kurangnya empat maut manakala 200 lagi cedera dalam tunjuk perasaan antikerajaan di Venezuela.

Sejumlah 51 orang turut ditahan kerana bertempur dengan pasukan keselamatan di sempadan Colombia.

Para penunjuk perasaan mendesak kerajaan Venezuela agar membuka sempadan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan AS dihantar ke negara Amerika Selatan itu.

Dalam kenyataan beliau, setiausaha itu menggelar Maduro sebagai “penzalim paling kejam”.

“Saya rasa rakyat Venezuela menyedari hakikat ini. Kita juga nampak semalam pihak tentera mula menyedari perkara ini,” katanya.

Ditanya sama ada pasukan tentera akan digunakan bagi menentang Maduro, Pompeo berkata setiap pilihan berada di depan mata.

“Kami akan melakukan perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan suara rakyat Venezuela didengar, demokrasi memerintah dan masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Venezuela,” kata Pompeo.

Venezuela digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari apabila Presiden Nicolas Maduro dilantik semula bagi penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian.

Ketegangan terus memuncak apabila Juan Guaido, yang mengetuai Dewan Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai presiden sementara pada 23 Januari, satu langkah yang disokong oleh AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Sementara itu, Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia mengulangi sokongan kepada Maduro, yang berikrar untuk memutuskan segala hubungan diplomatik serta politik dengan AS susulan pertikaian tersebut. – Bernama, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen