CHINA dan Amerika Syarikat (AS) mencapai kemajuan yang ketara dalam beberapa isu spesifik susulan pusingan terkini rundingan perdagangan dan ekonomi peringkat tinggi mereka di Washington, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan delegasi China pada Ahad.
Semasa rundingan pada 21 hingga 24 Februari, pusingan ketujuh sejak Februari tahun lepas, para perunding China dan AS terus melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh presiden kedua-dua negara dalam pertemuan mereka pada Disember di Argentina, dan menumpukan perbincangan berhubung teks satu perjanjian.
Delegasi China berkata kemajuan itu dicapai dalam isu seperti pemindahan teknologi, perlindungan hak harta intelektual, halangan bukan tarif, industri perkhidmatan, pertanian dan kadar pertukaran.
Berdasarkan kemajuan terkini, kedua-dua pihak akan meneruskan kerja masing-masing sehingga peringkat seterusnya mengikut arahan ketua negara mereka, menurut delegasi China.
Delegasi China diketuai Naib Perdana Menteri Liu He, yang turut hadir sebagai utusan khas Presiden Xi Jinping, manakala delegasi AS diketuai Wakil Perdagangan Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin. – Bernama, 25 Februari, 2019.
Komen