SEKURANG-KURANGNYA 12 anggota tentera yang setia kepada presiden Yaman dalam buangan, Abd-Rabbu Mansour Hadi, terbunuh manakala 60 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak di selatan sempadan Arab Saudi pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tentera.
Serangan itu terkena tentera terbabit di sebuah pasar popular berhampiran kawasan lintasan sempadan al-Buqa pada sebelah petang, kata pegawai yang enggan dikenali itu.
Beliau berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke sebuah hospital dalam wilayah Najran yang terletak di selatan sempadan Arab Saudi.
Sementara itu, stesen penyiar kendalian Houthi al-Masirah TV melaporkan serangan peluru berpandu balistik ke atas kawasan lintasan sempadan al-Buqa itu mengorbankan sekurang-kurangnya 40 anggota tentera yang setia.
Menghubungkan wilayah Najran yang terletak di selatan Arab Saudi dan wilayah Saada di utara Yaman yang dikuasai pemberontak, kawasan lintasan bersama al-Buqa itu ditawan oleh angkatan bersenjata Yaman pada 2016 yang disokong oleh gabungan tentera pimpinan Arab Saudi.
Briged Kelima Angkatan Bersenjata Yaman ditempatkan di al-Buqa dan bergerak ke pinggir kawasan pergunungan yang merupakan kubu kuat pemberontak dalam daerah Marran di wilayah Saada, tempat kelahiran pemimpin pemberontak iaitu Abdulmalik al-Houthi.
Arab Saudi memimpin gabungan tentera Arab yang campur tangan di Yaman pada Mac 2015 bagi membantu kerajaan presiden Hadi selepas pemberontak Houthi memaksa beliau menjadi orang buangan dan menawan sebahagian besar kawasan di bahagian utara negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.
Perang saudara yang berlanjutan selama empat tahun di Yaman meragut berpuluh-puluh ribu nyawa, kebanyakannya orang awam, dan menyebabkan tiga juta orang kehilangan tempat tinggal serta menjerumuskan negara itu ke ambang kebuluran. – Bernama, 25 Februari, 2019.
Komen