4 dipenggal kepala dalam serangan di utara Mozambique


Mozambique sering diserang militan dengan keganasan baru-baru ini berlaku pada setiap hujung minggu dengan mangsa dipenggal kepala. – Gambar fail AFP, 25 Februari, 2019.

PENYERANG memenggal kepala empat mangsa dan mencederakan 20 yang lain dalam tiga serangan pada hujung minggu berasingan di utara Mozambique, beberapa hari selepas konvoi Anadarko diserang hendap.

Serangan pertama mengejutkan kampung Matapata di daerah Palma, wilayah yang kaya dengan sumber minyak di mana Maputo berharap untuk membina hab minyak bernilai berbilion dolar, tetapi berulang kali diserang militan.

Serangan kedua berlaku pada Sabtu di sebuah perkampungan di Quelimane berhampiran sempadan Tanzania.

Serangan itu membunuh tiga orang dan mencederakan 16 yang lain, kata sumber, menambah tujuh dirawat di situ sementara enam yang cedera parah dipindahkan ke hospital daerah di Mocimboa da Praia.

Semua mangsa yang mati dipenggal kepala selepas ditembak, kata sumber.

Serangan ketiga di Mucujo, 200km utara Pemba, menyebabkan empat cedera, kata sumber tentera.

Setakat ini, tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Pada Khamis, seorang pekerja dibunuh dan enam lagi dicederakan apabila dua konvoi dikendalikan oleh Anadarko diserang di wilayah itu.

Mereka menjadi mangsa pertama serangan oleh militan yang menyasarkan operator gas di kawasan itu.

Anadarko antara syarikat antarabangsa yang melabur berbilion dolar untuk mengeksploitasi rizab gas utama yang ditemui di pantai timur laut Mozambique. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen