LEBIH 4,000 permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) terbiar tanpa jawapan sejak September, kata ejen untuk program yang menggalakkan warga asing untuk menetap di negara ini secara bersyarat.
Kelewatan dalam memproses permohonan itu bermula sejak suku ketiga tahun lalu tetapi tidak ada kenyataan rasmi kenapa ia berlaku, kecuali perubahan prosedur diperlukan untuk lulus yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Penangguhan bermula sekitar September,” kata Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai kepada The Malaysian Insight.
Persatuan itu mempunyai 235 ahli ejen, yang membantu warga asing memohon visa MM2H, iaitu pas lawatan sosial kemasukan pelbagai. Warga asing juga boleh memiliki rumah pada harga minimum RM500,000.
“Menurut laporan ahli, jumlah permohonan terkumpul sejak tahun lalu kini mencecah 4,000.
“Kebanyakan kelayakan profesional ejen kami dipertikaikan dan ramai pemohon mula mempertikaikan integriti ejen kami,” kata Lim.
Beliau berkata pemohon MM2H hanya tenang selepas ejen membawa mereka bertemu pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam program itu.
Tetapi akibatnya ialah permohonan itu dibatalkan walaupun pemohon masih perlu membayar sebahagian yuran ejen.
“Ejen tidak boleh memulangkan sebahagian bayaran itu kepada pemohon kerana mereka sudah pun mengeluarkan kos untuk memproses permohonan itu,” kata Lim.
Beliau berkata biasanya MM2H hanya mengambil masa empat hingga lima bulan selepas tarikh dihantar untuk diproses.
“Tetapi sebahagian permohonan ini ada yang tertangguh sehingga sembilan bulan sekarang,” katanya.
Kerugian
Lim berkata Malaysia berdepan kerugian sehingga RM100 juta kerana kelewatan itu.
“Kelewatan itu bermakna penggunaan peribadi, penghantaran wang dan pembelian perkhidmatan kereta elektrik serta agensi pelancongan juga akan menurun.”
Beliau berkata menurut Kementerian Pelancongan, kelulusan akhir bagi permohonan MM2H kini di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Lim berkata hanya 300-400 permohonan diluluskan dari Jun 2018 sementara 4,000 lagi masih tertangguh.
“Majoriti daripada 4,000 permohonan itu ialah warga dari Jepun, Korea Selatan, Bangladesh, China, India dan United Kingdom.
“Sejak awal September tahun lalu, tiada visa diluluskan. Persatuan sudah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Lim berkata pemohon berminat dengan Malaysia kerana peluang pendidikan.
“Sesetengah permohonan MM2H sejak itu menarik balik permohonan dan cuba mendapatkan visa pelajar untuk anak mereka.
“Ibu kepada pelajar itu akan ikut anaknya dan meninggalkan bapa untuk menunggu kelulusan visa MM2H,” katanya.
Lim berkata pada masa ini, ejen masih menghantar permohonan tetapi tiada satu pun diluluskan.
Seorang ejen, Anthony Liew berkata kerajaan mengadakan pertemuan dengan ejen pada Januari bagi memaklumkan bahawa proses kelulusan kini dilakukan oleh menteri dalam negeri.
“Tiada penjelasan diberikan atas perubahan itu. Kami masih perlu teruskan memproses permohonan itu, sama ada mereka akan luluskan atau tidak.”
Menurut laman web MM2H, pemohon di bawah usia 50 tahun perlu menunjukkan mereka mempunyai sekurang-kurangnya RM500,000 dalam bentuk aset semasa dan pendapatan bulanan RM10,000 sebulan.
Mereka di atas umur 50 tahun perlu membuktikan mempunyai sekurang-kurangnya RM350,000 dalam bentuk aset sementara permohonan pesara perlu menunjukkan mereka menerima pencen kerajaan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.
Sejumlah 4,545 warga Jepun memohon MM2H dari 2002-2017 dengan jumlahnya berganda susulan insiden loji nuklear Daiichi di Fukushima pada 2011.
Pada 2011, terdapat 423 permohonan dari Jepun, 816 pada 2012 dan 739 pada 2013. Pada 2014, jumlah permohonan menurun kepada 428. – 25 Februari, 2019.
Komen