Pasaran AS kecil bagi kami, kata Huawei


Pengerusi Huawei Guo Ping berkata sekiranya AS mengeluarkan arahan mengharamkan syarikat itu beroperasi di negaranya, ia hanya akan menjejaskan syarikat komunikasi kecil yang menggunakan peralatan dikeluarkan peneraju komunikasi dunia itu sekarang. – Gambar AFP, 25 Februari, 2019.

PENGERUSI Huawei pada Ahad memperlekeh amaran dikeluarkan Presiden Donald Trump untuk mengeluarkan arahan eksekutif mengharamkan gergasi telekomunikasi China itu, berkata syarikat itu boleh berjaya tanpa pasaran AS.

Guo Ping berkata arahan sebegitu “tidak perlu dan tidak seharusnya dikeluarkan” tetapi jika ia dikeluarkan ia tak banyak beri kesan kepada Huawei, yang kini menerajui pembekalan peranti utama untuk rangkaian telefon mudah alih seluruh dunia.

“Pada 2018, Huawei mempunyai perolehan lebih 100 bilion dolar. Pecahan pasaran AS sangat kecil. Ini bermakna kami boleh tak pedulikan pasaran AS,” katanya pada sidang media di Barcelona menjelang pameran perdagangan Kongres Telefon Bimbit Dunia.

Guo menambah yang tindakan itu hanya akan menjejaskan syarikat pengeluar telefon bimbit AS yang kecil yang menggunakan peralatan dikeluarkannya.

Pegawai AS mengesyaki produk Huawei yang berpangkalan di Shenzhen itu boleh digunakan Beijin untuk mengintip kerajaan barat dan sudah mengeluarkan arahan menyekat penggunaannya di syarikat penting AS.

Washington merasakan perkara itu penting kerana dunia sedang bersiap sedia melaksanakan rangkaian 5G yang akan mempercepat hubungan, data yang luas dan teknologi masa depan seperti kereta pandu sendiri.

Pentadbiran sedang melobi untuk menghalang Huawei daripada membina rangkaian 5G dan Trump dilaporkan mempertimbangkan arahan eksekutif untuk menghalang syarikat China itu untuk menjual peralatan canggih kepada AS.

Huawei berulang kali menafikan peralatannya boleh digunakan untuk mengintip.

“Huawei perlu mematuhi undang-undang China dan juga undang-undang luar China jika mahu beroperasi di negara itu. Huawei tidak akan, dan tidak berani dan tidak boleh melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang negara kami beroperasi,” kata Guo.

Tambahnya, AS tidak mewakili seluruh dunia dan Huawei berharap setiap negara membuat keputusan berdasarkan kepentingan mereka, kata Guo.

Pengendali komunikasi sedang berebut menyiapkan rangkaian baharu mereka untuk selari dengan peralatan 5G keluaran Huawei yang dianggap lebih canggih berbanding Ericsson keluaran Sweden atau Nokia dari Finland.

Syarikat itu mempunyai 180,000 pekerja di 170 negara dan 45 pengendali talian terbesar dunia menggunakan peralatannya. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen