RATUSAN penunjuk perasaan berarak pada Ahad menentang keputusan Presiden Sudan Omar al-Bashir untuk mengenakan darurat ke seluruh negara, ketika pemimpin lama memerintah itu melantik seorang perdana menteri baharu.
Jumaat lalu, Bashir mengumumkan darurat selepas usaha mengekang bantahan rakyat yang mengugat pemerintahan tiga dekadnya gagal.
Presiden itu yang naik kuasa melalui rampasan kuasa pada 1989, juga membubarkan kabinet dan kerajaan daerah, dan berikrar membawa masuk teknokrat untuk membantu mengatasi krisis ekonomi- punca utama bantahan rakyat.
Tetapi, pada Ahad, penunjuk perasaan turun berarak di bandar Khartoum, Omdurman, dan Madani, menentang polis anti rusuhan.
“Kami mahu menghantar mesej jelas kepada presiden yang darurat tidak akan menghalang kami,” kata Sawsan Bashir yang terlibat dalam tunjuk perasaan di Omdurman.
“Matlamah kami adalah menyingkirkan kerajaan dan kami akan berbuat demikian.”
Penganalisis berpandangan, tindakan darurat adalah tindakan terdesak untuk berdepan kemarahan rakyat, dan lebih banyak penentangan ganas antara penunjuk perasaan dan polis mungkin berlaku.
Bantahan turut berlaku di kawasan kota raya negara itu, di Burri, Shambat, Street 60 dan Al-Mamura, kata saksi.
Saksi melaporkan asap tebal kelihatan dari Burri, apabila penunjuk perasaan membakar pokok dan tayar serta menyekat jalan raya dengan batu bata.
Hampir 300 orang pula berarak di Al-Mamura, kawasan perniagaan dan perdagangan negara itu.
Polis anti rusuhan di Khartoum dan Omdurman juga melepaskan gas pemedih mata.
Walaupun bantahan sedang berlaku di seluruh negara, Bashir mengadakan majlis angkat sumpah perdana menteri, timbalan presiden dan gabenor baharu untuk 18 daerah negara itu pada Ahad.
Bekas gabenor Jazeera, Mohamed Tahir Elia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu dalam majlis di Istana Presiden.
“Kami berharap menawarkan peluang pekerjaan kepada belia kami supaya mereka boleh mencapai aspirasi mereka,” kata Elia kepada wartawan selepas angkat sumpah.
Menteri Pertahanan Sudan Jeneral Awad Ibnouf pula dilantik sebagai timbalan presiden, selepas Bakri Hassan Saleh dipecat Bashir.
Enam belas pegawai tentera dan dua pegawai Pasukan Perisikan dan Sekuriti Negara (NISS) yang lengkap beruniform pula mengangkat sumpah sebagai gabenor untuk 18 daerah negara itu.
“Hari ini, bab baharu dalam sejarah Sudan bermula,” kata Bashir yang berpakaian tentera pada majlis itu.
Penganjur bantahan berikrar meneruskan tunjuk perasaan, menuduh Bashir dan pegawainya salah tadbir ekonomi.
Pertempuran ganas berlaku antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan menyebabkan 31 orang maut selepas ia bermula 19 Disember lalu.
Tetapi, Human Rights Watch berkata, sekurang-kurangnya 51 maut termasuk pegawai perubatan dan kanak-kanak.
Tunjuk perasaan mula berlaku di bandar Atbara selepas kerajaan membuat keputusan menaikkan harga roti tiga kali ganda, sebelum merebak menjadi bantahan menentang pemerintahan kuku besi Bashir.
Bashir mengakui majoriti penunjuk perasaan adalah lelaki dan wanita muda yang menuntut situasi ekonomi bertambah baik.
Kewangan Sudan terjejas teruk selepas Selatan Sudan mendapat kemerdekaan pada 2011, membawa bersamanya hasil minyak lumayan.
Kesannya, kekurangan bekalan asasi yang mencetuskan inflasi tidak terkawal dan menjejaskan kehidupan pelbagai lapis rakyat Sudan. – AFP, 25 Februari, 2019.
Komen