TENTERA disokong AS yang berusaha menyingkirkan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria dari kawasan terakhir mereka di Timur Syria pada Ahad mengusir 280 pengganas warga Iraq, kata pihak berkuasa Iraq.
Pasukan Demokratik Syria (SDF) menahan “jumlah besar” pengganas IS “pelbagai warganegara, termasuk lebih 500 orang warga Iraq”, kata pejabat media keselamatan dalam satu kenyataan.
“Setakat ini 280 (warga Iraq) sudah diserahkan,” katanya.
Pasukan keselamatan Iraq pada Khamis menerima kumpulan pertama 130 orang pengganas IS warga Iraq, kata jurucakap tentera, walaupun jurucakap pasukan SDF menafikan dakwaan itu.
Penyerahan itu akan “diteruskan sehingga semuanya lengkap,” kata kenyataan itu lagi.
Pasukan keselamatan Iraq sudah menerima senarai nama untuk diperiksa dengan pangkalan data kehakiman, yang mengeluarkan waran tangkap terhadap pengganas.
Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi dalam sidang media mingguan pada Selasa, berkata, yang negara itu sedang memantau situasi di Timur Syria dengan penuh hati-hati, ketika wujud kebimbangan saki baki pengganas IS akan menyeludup masuk sempadan Iraq.
Iraq mengisytiharkan kejayaan memerangani IS pada Disember 2017 selepas menyingkirkan pengganas itu dari kawasan ditakluk mereka di Iraq pada 2014.
Disokong tentera AS, SDF kemudiannya memerangkap sekumpulan kecil saki baki pengganas dalam kawasan kurang sekilometer di padang pasir Syria. – AFP, 25 Februari, 2019.
Komen