AS tangguh naik tarif dagang dengan China


Presiden Donald Trump mengumumkan rundingan kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu berjalan lancar. – Gambar AFP, 25 Februari, 2019.

AMERIKA Syarikat menangguhkan rancangan untuk menaikkan tarif bernilai lebih AS$200 bilion dalam eksport China selepas wujud kemajuan dalam perbincangan perdagangan, kata Presiden Donald Trump pada Ahad.

Trump juga berkata, beliau merancang mengadakan sidang kemuncak dengan rakan sejawatnya, Presiden Xi Jinping di estate Ma-a-Lago, Florida untuk memuktamadkan perbincangan itu.

“Saya dengan gembiranya mahu melaporkan yang AS sudah membuat banyak kemajuan dalam perbincangan perdadagangan kita dengan China dalam isu struktur import termasuklah perlindungan harta intelek, pemindahan teknologi, pertanian, perkhidmatan, mata wang dan pelbagai isu lain,” tulis Trump di Twitter.

“Kesan daripada perbincangan yang sangat produktif ini, saya akan menangguhkan peningkatan tarif AS yang dijadualkan pada 1 Mac. Dengan andaian kedua-dua pihak membuat kemajuan tambahan, kami akan merancang mengadakan Sidang Kemuncak untuk Presiden Xi dan saya, di Mar-a-Lago untuk memuktamadkan perjanjian. Hujung minggu yang baik untuk AS & China!”

Trump sudah meluahkan optimisme tentang rundingan pada Jumaat selepas pertemuan dengan Timbalan Presiden China Liu He. Perbincangan itu tamat pada Ahad.

Xi juga dalam surat dikirim kepada Trump menerusi Liu meluahkan rasa positif sama, berkata beliau berharap rundingan yang diadakan dengan semangat “menang-menang” itu akan membawa kepada perjanjian yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Trump pada Jumaat berkata perjanjian tentang manipulasi mata wang akan dimasukkan ke dalam perjanjian perdagangan, tetapi tidak banyak butiran yang didedahkan kepada awam.

Perang perdagangan yang berlanjutan selama tujuh bulan mengoncang pasaran dunia dan mencetuskan amaran bahaya kepada ekonomi dunia.

Penganalisis berkata kedua-dua pihak bakal menyelesaikan aspek mudah kemelut itu dahulu- termasuklah pembelian barangan keluaran Amerika, pelaburan lebih terbuka di China serta perlindungan lebih ketat untuk harta intelek dan teknologi.

Bahagian sukar dalam perbincangan termasuklah pengecilan hasrat China untuk industri yang dianggap strategik di seluruh dunia bakal memakan lebih banyak masa dan memerlukan perbincangan mendalam. – AFP, 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen