'Pilihan' untuk pengundi Cina di Semenyih


Chan Kok Leong

PH menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di pusat mengundi di sini, meraih 81.8% daripada 2,758 pengundi di kawasan itu. BN mendapat 12% manakala PSM dan PAS masing-masing mendapat 3.7% dan 2.2%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2019.

TIDAK banyak pilihan jika anda merupakan pengundi Cina di Semenyih memandangkan pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan di kawasan itu dalam tempoh kurang seminggu.

“Anda boleh memilih calon bebas (Kuan Chee Heng) atau PSM (Nik Aziz Afiq Abdul) jika tidak gembira dengan Pakatan Harapan.

“Tetapi jika anda tidak marah, maka pilihannya adalah jelas,” kontraktor ubah suai Tan Yee Hoi kepada The Malaysian Insight di sebuah restoran di Kampung Baru Semenyih.

Dengan PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di PRK Semenyih, Tan berkata situasinya seperti Pilihan Hobson iaitu hanya satu pilihan yang diberikan.

Baginya, pilihan itu adalah PH kerana masih belum cukup sebab untuk beliau kembali kepada BN yang disokongnya sebeluam 2013.

“BN tidak berubah walaupun tewas pada pilihan raya (umum),” kata lelaki berusia 60 tahun itu yang tinggal di kampung baru di Semenyih itu.

Kampung itu merupakan salah satu stesen mengundi yang majoritinya Cina manakala satu lagi di Tarun.

“Umno masih sama dan begitu juga MCA. Lebih teruk lagi mereka bersama PAS. Jadi jika kita mahu masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang, pilihannya adalah Pakatan.”

Kampung Baru Semenyih terletak di sepanjang jalan utama Jalan Semenyih dan mempunyai 3,220 pengundi. 82.5% daripadanya merupakan pengundi Cina.

PH menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di pusat mengundi di sini, meraih 81.8% daripada 2,758 pengundi di kawasan itu. BN mendapat 12% manakala PSM dan PAS masing-masing mendapat 3.7% dan 2.2%.

Ia merupakan kali pertama BN kalah di Semenyih selepas mempertahankan kubu kuat Umno pada pilihan raya sebelumnya.

Kampung Baru Semenyih merupakan satu daripada 450 kampung baru yang diwujudkan British untuk mengekang pengaruh komunis di Malaya sebelum merdeka.

Di sini, masih terdapat rumah papan yang dibina dari tahun 1950-an dan rumah yang lebih baru diperbuat daripada bata. 

Satu-satunya struktur tinggalan zaman British yang berdekatan adalah depot Imigresen Semenyih, yang digunakan untuk menempatkan pendatang tanpa izin menunggu pengusiran, dan sebuah sekolah menengah yang dinamakan sempena pengasas Semenyih Engku Hussain.

Semenyih pada asalnya terletak di bawah Negeri Sembilan sebelum pertukaran kawasan dibuat oleh Sultan Abdul Samad pada 1883 untuk kawasan Lukut dari Selangor.

Dengan pembangunan baharu oleh Eco City, Sunway Semenyih dan University of Nottingham Malaysia mengubah bekas kawasan ladang kelapa sawit itu, kampung baharu masih kekal seperti dulu.

“Saya masih ingat perintah larangan berkurung ketika membesar di sini,” kata Wong Meng yang menyertai perbualan.

“Jika tidak kerana pembangunan baharu, saya tidak mampu memiliki rumah sendiri,” kata lelaki berusia 70 tahun itu apabila ditanya tentang projek pembangunan di Semenyih.

Beliau pernah tinggal di Kampung Rinching sebelum pemaju membangunkan projek perumahan di kawasannya semasa pemerintahan 10 tahun di bawah Pakatan di Selangor.

“Saya tidak kisah mengundi Pakatan lagi. Satu daripada sebab saya memilih mereka kerana isu rasuah dalam BN.

“Walaupun perlahan, kerajaan baru masih telus,” katanya. – 25 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen