Korea Utara mampu jadi kuasa ekonomi tanpa nuklear, kata Trump


Presiden AS Donald Trump berkata beliau dan Kim Jong-un dijangka meneruskan rundingan mengenai usaha menghentikan program nuklear Korea Utara. – Gambar EPA, 24 Februari, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Korea Utara mampu menjadi salah sebuah negara ekonomi yang hebat jika republik itu melupakan cita-cita nuklearnya.

Dalam beberapa hantaran menerusi Twitter menjelang pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi minggu ini, Trump turut memuji China dan Rusia kerana menguatkuasakan sekatan ke atas Pyongyang.

Trump juga mendakwa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Jong-un.

“Jong-un sedar bahawa tanpa senjata nuklear, negaranya dengan pantas menjadi salah sebuah negara berkuasa ekonomi di dunia. Ini kerana kedudukan negara dan rakyatnya yang mempunyai potensi untuk berkembang pesat berbanding negara lain,” tulis Trump.

Trump berkata beliau dan Jong-un dijangka meneruskan rundingan mengenai usaha menghentikan program nuklear Korea Utara.

Perkembangan positif itu bermula pada Jun lalu antara kedua-dua negara menerusi perbincangan yang diadakan di Singapura.

Jong-un menuntut sekatan yang dikenakan atas Korea Selatan ditarik semula manakala Washington berkata tindakan itu akan diteruskan selagi Pyongyang meneruskan cita-cita nuklearnya. – AFP, 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen