Pemimpin pembangkang wanita Tanzania ditangkap


Parti Chadema berkata penangkapan Halima adalah contoh terkini tindakan keras kerajaan terhadap pengkritiknya. – Gambar AFP, 24 Februari, 2019.

PEMIMPIN sayap wanita pembangkang utama Tanzania ditangkap kerana didakwa terlibat dalam perbincangan yang mempunyai unsur “menghasut”, kata parti Chadema, hari Ahad.

Halima Mdee, 40, yang merupakan seorang ahli parlimen dan peguam, ditahan pada hari Sabtu di ibu negara Tanzania Dar es Salaam selepas pertemuan dengan penduduk kawasannya.

Mdee, yang dianggap sebagai pengkritik tegar Presiden John Magufuli, telah ditangkap beberapa kali pada 2018, beliau dituduh menghina Magufuli.

Parti beliau berkata penangkapan beliau adalah contoh terkini tindakan keras kerajaan terhadap pengkritiknya. Kerajaan Magufuli bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Satu kenyataan dari parti Chadema mendakwa penangkapan itu adalah “sebahagian daripada rancangan polis mensasarkan penyokong, ahli dan pemimpin parti”.

Tidak ada respons daripada pihak polis Tanzania setakat ini.

Pada hari Khamis, satu lagi pemimpin parti Chadema terkenal Joseph Mbilinyi turut ditangkap namun dibebaskan pada hari yang sama.

Pengerusi parti Chadema, Freeman Mbowe dan ahli parlimen pembangkang, Esther Matiko, masih berada dalam tahanan setelah penangkapan mereka pada bulan November, setelah dua kali mengabaikan saman berhubung tuduhan mengadakan protes haram. – AFP, 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen