POPE Francis pada hari Ahad membandingkan penderaan seksual kanak-kanak dengan pengorbanan manusia ketika beliau berucap di hadapan pimpinan tertinggi Gereja Katolik di akhir sidang kemuncak bersejarah bagi menangani pedofilia.
“Kerja yang kita jalankan telah membuatkan kita sedar sekali lagi bahawa graviti dari salah laku seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, dan sejarah menyaksikan ia menjadi satu fenomena yang meluas dalam semua budaya dan masyarakat,” katanya.
“Saya diingatkan mengenai amalan keagamaan yang kejam, yang pernah meluas dalam budaya tertentu, sehingga mengorbankan manusia - dan sering kanak-kanak menjadi mangsanya - dalam ritual pagan,” katanya.
Francis bercakap selepas mesyuarat selama empat hari yang dimulakan oleh beliau dengan menggesa supaya “langkah-langkah konkrit” diambil bagi menangani salah laku di kalangan paderi dan melantik 114 paderi kanan bagi melaksanakan pelan tindakan untuk membentuk wacana mengenai cara menghentikan skandal global tersebut.
“Sekiranya di dalam Gereja muncul satu kes penderaan - yang menggambarkan tindakan kejam - kes itu akan diselesaikan dengan penuh kesungguhan”.
Skandal itu berterusan melanda negara-negara di seluruh dunia, dengan kes terbaru dilaporkan berlaku di Australia, Chile, Jerman dan Amerika Syarikat.
Francis berkata paderi yang menyerang anak-anak sebagai mangsa mereka adalah “alat syaitan”.
“Tiada penjelasan yang mencukupi bagi salah laku seksual terhadap kanak-kanak ini,” kata pemimpin tertinggi Roman Katolik dari Argentina itu.
“Gema tangisan yang senyap dari anak-anak kecil, yang mencari bapa dan pemandu rohani namun apa yang berlaku mereka bertemu dengan penindas, hal ini akan membuat hati tertutup (dengan agama) akibat kemunafikan dan kuasa.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa cakna dengan tangisan senyap ini, mereka dicekik dengan kejam,” katanya lagi. – AFP, 24 Februari, 2019.
Komen