Erdogan bertegas tidak mahu bercakap dengan presiden Mesir


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengulas mengenai hubungan beliau dengan rakan sejawat dari Mesir Abdel Fattah al-Sisi.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menegaskan beliau tidak akan lagi berkomunikasi dengan rakan sejawatnya dari Mesir Abdel Fattah al-Sisi susulan hukuman mati yang dilaksanakan Kaherah ke atas sembilan individu baru-baru ini.

“Mereka (Mesir) membunuh sembilan orang baru-baru ini. Perkara ini tidak boleh diterima,” kata Erdogan dalam satu sesi temu buat bersama stesen televisyen tempatan CNN-Turk.

Rabu lalu, Mesir menghukum gantung sembilan orang yang disabitkan kesalaha membunuh seorang pendakwa raya pada 2015.

“Sudah pasti kita dimaklumkan bahawa hukuman itu adalah keputusan mahkamah tetapi sistem keadilan dan pilihan raya di negara itu sudah rosak. Mereka mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi,” kata Erdogan.

“Kini saya menjawab persoalan kenapa Tayyip Erdogan tidak bercakap dengan Sisi kerana ada kadang-kalan ada orang tengah datang ke sini. Saya tidak akan bercakap lagi dengan orang sepertinya.”

Hubungan Turki dan Mesir dilihat hampir tidak wujud sejak tentera Mesir yang diketuai Sisi pada 2013 menggulingkan presiden Mohamed Morsi yang merupakan sekutu rapat Erdogan.

Morsi memimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dianggap sebagai pertubuhan haram di Mesir dan ahli kumpulan itu mendapatkan perlindungan di Turki sejak insiden penggulingan tersebut.

Erdogan turut menggesa pembebasan tahanan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

“Sisi perlu membebaskan semua tahanan dengan memberi pengampunan. Selagi mereka tidak dibebaskan, kita tidak akan bercakap dengan Sisi,” tegasnya. – AFP, 24 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen