Perang Afghanistan, kematian orang awam pada 2018 meningkat


Peningkatan serangan udara oleh tentera AS dan Afghanistan turut membawa kepada kematian lebih ramai orang awam pada 2018 dengan lebih 500 orang awam terbunuh. - Gambar AFP, 24 Februari 2019.

LEBIH ramai orang awam terbunuh dalam perang Afghanistan pada 2018 berbanding tahun sebelum itu direkodkan selepas hampir dua dekad peperangan berlaku, menurut laporan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan hari ini.

Kematian orang awam melonjak ke 11% dari 2017 dengan 3,804 orang terbunuh dan 7,189 orang cedera.

Menurut PBB, angka itu dikenal pasti akibat serangan bunuh diri dan pengeboman yang melanda negara itu.

Laporan itu keluar sehari sebelum Amerika Syarikat (AS) dan Taliban mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik itu.

Rundingan itu juga bagi meningkatkan harapan untuk keamanan bersama seiring dengan ketakutan bahawa penarikan AS boleh mencetuskan perang saudara lebih dahsyat.

Menurut PBB, sekurang-kurangnya 32,000 orang awam terbunuh dan 60,000 lagi cedera.

Ketua Misi PBB di Afghanistan, Tadamichi Yamamoto berkata, sudah tiba masanya untuk mengakhiri kesengsaraan dan tragedi kemanusiaan ini.

“Cara terbaik untuk hentikan pembunuhan orang awam adalah dengan menghentikan peperangan,” katanya.

Sekurang-kurangnya 65 serangan bunuh diri dicatatkan pada 2018.

Peningkatan serangan udara oleh tentera AS dan Afghanistan turut membawa kepada kematian lebih ramai orang awam pada 2018 dengan lebih 500 orang awam terbunuh.

AS mempergiatkan kempen udaranya melawan Taliban dan pejuang IS apabila Washington berusaha memberikan tekanan kepada militan dengan menyerang dua kali lebih banyak pada 2018 berbanding tahun sebelumnya. – 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen