Lama tertangguh, perpustakaan 'hijau' Sabah akhirnya dibuka April  


Jason Santos

Digelar sebagai sebuah perpustakaan "hijau", bentuknya yang menyerupai "buku terbalik", menggabungkan ciri-ciri mesra alam bagi mengurangkan penggunaan elektrik seperti pencahayaan semula jadi, serta penuaian air hujan dan sistem pengudaraan semula jadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 24 Februari, 2019.

SELEPAS ditangguhkan selama dua tahun, perpustakaan baharu Sabah bernilai RM40 juta di Tanjung Aru akan membuka pintunya kepada orang ramai April depan, kata Pengarah Jabatan Perpustakaan Negeri, Wong Vui Yin.

Digelar sebagai sebuah perpustakaan “hijau”, bentuknya yang menyerupai “buku terbalik”, menggabungkan ciri-ciri mesra alam bagi mengurangkan penggunaan elektrik seperti pencahayaan semula jadi, serta penuaian air hujan dan sistem pengudaraan semula jadi.

Perpustakaan pertama yang menitik beratkan kadar penggunaan karbon di negara ini dibina dengan struktur utamanya disiapkan dua tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan pembukaannya bagi menyiapkan kemasan dalamannya.

Wong berkata kelewatan itu disebabkan oleh kerja-kerja reka bentuk dalaman dan penyesuaian jalan raya yang mengelilinginya dan kawasan tempat letak kereta.

“Struktur utama selesai pada 14 Mac, 2017 dan sijil pendudukan diperoleh pada 9 April 2018, di samping sijil penyempurnaan.

“Namun kami terpaksa melengkapkan infrastruktur dan kemasan dalaman yang melibatkan pembinaan tempat letak kereta dan hiasan dalaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong turut berkata kerja di kemasan dalaman bermula pada Mei tahun lalu dan dijangka siap pada 31 Mac depan.

“Pelancaran kecil dijadualkan pada 1 April dan kami merancang untuk pembukaan rasmi dengan menjemput ketua menteri Sabah untuk hadir,” katanya.

Pembinaan bangunan itu dibiayai oleh Lahad Datu Water Supply Sdn Bhd dan Bank Pembangunan Sabah, yang masing-masing menyumbangkan RM20 juta untuk projek itu di bawah belanjawan tanggungjawab korporat sosial mereka.

Wong menambah bahawa sejumlah RM8 juta dibelanjakan bagi kemasan dalaman dan RM1.6 juta untuk pembinaan kawasan tempat letak kereta dan jalan raya.

Perpustakaan yang terletak di tapak 1.2 hektar bersebelahan dengan tempat rekreasi popular, Perdana Park, di Tanjung Aru.

Ia menghadap rumah bekas bekas ketua menteri Sabah dan tokoh bersejarah, Tun Mustapha Datu Harun, dan pusat komersial Plaza Tanjung Aru dan kawasan hutan kecil.

Struktur bangunan enam tingkat itu mempunyai ruang lantai seluas 5,000 meter persegi, dengan reka bentuk luaran bangunan yang menggabungkan motif kumpulan-kumpulan etnik Sabah yang berlainan.

Perpustakaan itu juga turut menawarkan sebuah pusat inovasi. Wong berkata Telekom Malaysia sedang dihubungi bagi mendirikan sebuah muzium telekomunikasi di dalam perpustakaan baharu tersebut. –24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen