Asal jalanan kembali ke jalanan


Zainal Rashid Ahmad

Pelukis Mahadzir Md Sirat melukis potret di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. DBKL menyediakan ruang seni di Jalan Bulan untuk pelukis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2019.

1987 ialah tahun penuh sejarah bagi pelukis jalanan di Kuala Lumpur. Tahun transisi dan migrasi yang luar biasa. Daripada suasana jalanan di depan Wisma Yakin, Jalan Masjid India – puluhan pelukis yang mencari rezeki melalui goresan potret, berhijrah ke Pasar Seni atau Central Market (CM).

Tahun itu tanda meledaknya kesedaran magis dalam kalangan pentadbir Kuala Lumpur mengenai apresiasi seni marhaen. Malah, bukan saja seni, tapi ekonomi pelukis yang menjadikan bakat melukis potret sebagai kerjaya sepenuh masa.

Teknorat mula mengiktiraf betapa pentingnya pelukis jalanan diberikan ruang kreatif yang lebih kondusif dan eksklusif. Sesuai dengan usaha mahu mengimbangi pembangunan ibu kota yang serba material.

Hampir 40 pelukis potret diberikan ruang melukis di CM tanpa caj sewa. Satu usaha luar biasa dalam menghargai seniman jalanan setelah sedekad hidup menempel di Jalan Masjid India.

Aris Aziz, Adam Ooi, Im Aziz, Abdul Aziz Alias, Ajis Lanun, Zakaria Mat Isa, Suria Suim, Young Jeffry, Jamal Tumiran, Abdul Hadi Ahmad, Rahmat Ramli dan Khairudin Dino Mustafa antara nama pelopor awal.

Antara kelompok itu, termasuk juga Mahadzir Md Shirat atau popular dengan nama Eidet. Dia antara seniman jalanan yang masih tegar dan cekal mencari rezeki dengan melukis potret hingga hari ini.

Tanpa sebarang pendidikan seni yang formal, anak Segamat, Johor ini datang ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya sebagai pelukis jalanan pada usia 23 tahun.

“Tahun 1987, kami pelukis jalanan dijemput ke CM sebagai artis potret. Semuanya diberikan percuma,” kata Eidet.

“Kami menikmati pengiktirafan apabila dianggap sebagai pengkarya hidup. Dalam CM ketika itu dipenuhi dengan produk seni material yang kaku,” tambahnya.

Setelah setahun dikecualikan caj, pada 1988, kadar sewa bermula dengan caj RM5 sehari dan dinaikkan pada RM10 pada tahun berikutnya.

“Tahun 1989 caj sewa ditetapkan RM450 sebulan. Ia masih boleh diterima kerana pendapatan melukis agak baik pada waktu itu kerana pelancong Eropah sentiasa menghargai lukisan potret,” cerita Eidet.

Namun, semuanya berubah apabila pengurusan baharu mengambil alih CM pada 2005. Pelukis dikenakan sewa RM1,500 sebulan dan dipindahkan ke luar bangunan CM. Malah, di pedestrian Annex CM, caj elektrik juga dikenakan sebagai fi tambahan.

“Harga sewa terlalu mahal, naik mendadak lebih 300%. Syarikat pengurusan baharu mengubah imej CM tanpa perlukan komitmen pelukis jalanan,” kata Eidet.

Koloni 40 pelukis di CM terpaksa membawa diri. CM bukan lagi bertaraf pasar budaya tetapi berubah menjadi zon seni kontemporari bernilai komersil sepenuhnya.

Setelah keluar meninggalkan CM, ramai pelukis yang terkapai-kapai. Ada yang melukis di rumah atau menempel di ceruk laluan di sekitar ibu kota. Namun, kerap dihalau pihak berkuasa atau pemilik premis.

“Kami dianggap mengganggu laluan. Malah dilihat sebagai mencemar laluan awam,” kata Eidet.

Itu nasib pelukis jalanan. Asal di jalanan pada awal 80-an dan kembali ke jalanan dua dekad berikutnya.

“Selepas keluar CM, saya sendiri melakukan banyak kerja rencam. Tidak mudah menyambung rezeki mencari ruang melukis di jalanan. Kita tidak boleh menumpang melukis sembarangan di mana-mana. Itu satu kesalahan,” jelas Eidet.

Selama sembilan tahun antara 2005 hingga 2014, bagi seniman kerdil seperti Eidet, warna kapur pastel dan pensil miliknya kehilangan larikan pada kertas. Hidupnya berdepan detik mencabar kerana sukar mencari ruang untuk tapak melukis. Apa lagi, tempat lama di Jalan Masjid India sudah dibangunkan menjadi bazar peniaga.

Namun, getaran seni dalam jiwa seniman tidak mudah dihapuskan. Eidet kembali menyertai rakan-rakan seniman jalanan pada 2014, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan ruang seni di Jalan Bulan, Bukit Bintang.

Satu keputusan bijak kerana kawasan itu dipenuhi pelancong serta menjadi tumpuan warga Timur Tengah. Keadaan jadi lebih mudah kerana status fi di Jalan Bulan hanyalah isu mendapatkan permit.

“Kami bayar permit hanya RM10 setiap enam bulan. Kadar caj DBKL sangat murah dan kami menghargainya,” jelas Eidet yang kini berusia 55 tahun.

Bersama hampir 20 pelukis jalanan lain, kaki lima Jalan Bulan menjadi tapak baharu mencari rezeki melalui bakat seni. Malah, popular kerana harga tempahan lukisan potretnya dianggap termurah dalam senarai kota Asean.

“Kami murahkan harga supaya pelancong luar mampu membuat tempahan. Lukisan potret pastel hanya RM100 dan potret hitam putih menggunakan pensil hanya RM50. Harga yang disifatkan tiga kali ganda murah berbanding nilai sebenar di Kuala Lumpur,” kata Eidet.

Nilai komersil bukan lagi argumentasi. Bagi pelukis jalanan, mendapatkan pelanggan dan adanya tempahan lebih diutamakan.

“Tak apalah murah, asal satu malam dapat dua pelanggan. Ada gaji tunai dibawa pulang,” kata Eidet.

Selain memastikan pendapatan bulanan kekal RM3,000, Eidet menyifatkan harga yang murah sesuai dengan kemampuan pelancong yang datang.

“Satu lukisan potret solo siap dalam dua jam. Jadi berbaloi, lima ke enam jam bekerja ada gaji untuk dua tempahan,” katanya.

Ruang seni di Jalan Bulan dibuka sekitar 10 malam dan pelukis pulang jam 3 pagi. Keletihan melarik potret dengan tekun, kini satu keperluan. Bekerja lima ke enam jam tanpa rehat satu rutin kerana melukis ialah pendapatan sepenuh masa.

“Pelancong biasanya mahukan lukisan siap dalam dua jam, sebab mereka akan pulang atau pergi ke destinasi lain esok harinya. Jadi, kena bersengkang mata dan menghormati waktu yang ada,” kata Eidet.

Sebahagian besar pelukis bekerja 30 hari sebulan. Pada hari tertentu, lima jam termangu di pinggir jalan tanpa tempahan. Itu satu realiti. Sekiranya hari hujan pula, mereka menghabiskan masa dengan minum kopi kerana ruang seni di tempat pejalan kaki ini tidak berbumbung.

“Itulah hidup, bro,” kata Eidet: “Rezeki di tangan Tuhan.” – 24 Februari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen