Kes 1MDB lambat selesai kerana kerajaan tidak campur tangan


Diyana Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata bukan mudah menyelesaikan kes berkaitan 1MDB dan kerajaan faham rakyat mahukan pesalahnya dikenakan hukuman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Februari, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedar sentimen kemarahan rakyat yang mahukan keadilan dan pelaku kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikenakan hukuman, tetapi ia bukan tugas yang mudah.

Beliau berkata kerajaan kini sangat menghormati dan percaya badan kehakiman perlu bebas daripada sebarang campur tangan.

“Saya bincang dengan Tun Mahathir kali terakhir beliau beritahu macam mana orang (rakyat) marah kita (kerajaan) kerana kes lama sangat.

“Tapi kita tidak ada kuasa kerana hakim kena bebas. Kita tidak mahu lagi cara lama, jadi lambat pun tidak apa,” katanya dalam ceramah perdana di Kantan Permai malam tadi.

Terdahulu, di depan kira-kira 400 yang hadir dalam program itu, Anwar meluahkan kehairanannya apabila skandal 1MDB dinafikan oleh sesetengah pihak walaupun ia sudah terbukti di peringkat dunia.

“Saya kesal macam mana kawan kita baik dalam Umno dan PAS. Saya tak faham mengapa keadaan ini (1MDB) boleh dipadamkan.

“Tidak ingat, tak tahu tidak ada bukti siasatan biarpun ia sudah melibatkan dunia dan negara rugi berbilion ringgit kerana 1MDB kita yang kena tanggung,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

1MDB menjadi skandal kewangan yang terbesar di negara dan dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuka semula kes siasatan 1MDB. – 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen