BEKAS perdana menteri Najib Razak berjanji kepada penduduk di Kampung Minang, Semenyih akan membawa isterinya Rosmah Mansor ke kampung itu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.
Najib berkata beliau tidak dapat membawa bersama isterinya yang juga merupakan orang Minang itu dalam lawatannya kali ini disebabkan sedang berkempen dalam PRK Semenyih itu.
“Malam ini sangat-sangat bermakna kepada diri saya. Saya dapat sampai juga ke Kampung Minang ini sebab orang rumah saya orang Minang. Tapi malam ini saya tidak bawa dia sebab ini dalam kempen pilihan raya,” katanya ketika berceramah di Kampung Minang malam tadi.
“Tetapi kalau menang Insya-Allah saya boleh bawa dia ke Kampung Minang ini. Boleh tuan puan?,” katanya disambut dengan sorakan “boleh” oleh penduduk kampung tersebut.
Rosmah digambarkan sebagai seorang yang negatif oleh pimpinan pembangkang dulu sehingga pelbagai pihak termasuk pimpinan Umno sendiri yang merasakan beliau liabiliti kepada Najib yang membawa kepada kekalahan BN dalam PRU14 lalu.
Selepas kekalahan tersebut, Rosmah jarang dilihat bersama Najib ketika menghadiri program bersama masyarakat.
Kempen penjenamaan semula Najib yang sedang berlangsung dengan slogan “Malu Apa Bossku” juga tidak melibatkan Rosmah.
Najib berkata rakyat mula sedar apa yang diungkapkannya dan pimpinan BN selama ini adalah benar selepas melihat kegagalan Pakatan Harapan mentadbir negara dalam tempoh sembilan bulan ini.
“Ada orang cuba tiru saya pergi Giant tetapi saya tengok tidak ada orang hendak selfie dengan dia. Akhirnya dia buat-buat cakap dengan penjual-penjual itulah.
“Kita bukan paksa orang. Orang datang kerana dia hendak tunjuk, dia terima apa yang dicakap oleh BN selama ini benar. Cuma masa itu dia tidak nampak sebab serangan dahsyat sangat. Kita dianggap semua tidak betul,” katanya.
Hari pengundian bagi PRK Semenyih ditetapkan berlangsung pada 2 Mac. – 24 Februari, 2019.
Komen