PIHAK berkuasa keselamatan menahan 41 orang ketika protes diadakan yang menggegarkan ibu kota Algeria, berang dengan Presiden Abdelaziz Bouteflika yang mempertahankan pemerintahannya bagi penggal kelima.
Polis melepaskan gas pemedih mata pada Jumaat untuk menghalang peserta protes berarak ke istana presiden, menyebabkan mereka membaling batu ke arah pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara berkata ia menahan 41 orang atas sebab “ketenteraman awam, vandalisme, kemusnahan harta benda, keganasan dan serangan”.
Selain penahanan itu, pihak berkuasa bertoleransi dengan protes yang diadakan di seluruh negara, termasuk di ibu kota, di mana demonstrasi diharamkan sejak 2001.
Polis tidak memberikan anggaran jumlah penunjuk perasaan tetapi sumber pihak berkuasa keselamatan berkata kira-kira 20,000 orang berdemonstrasi di seluruh negara, dengan suku daripadanya di Algiers.
Pihak berkuasa berkata 38 ditahan di ibu kota, dan tiada anggota keselamatan yang tercedera.
Sebahagian penunjuk perasaan di Algiers mengelilingi bangunan dan mengoyakkan poster gambar Bouteflika, presiden yang berusia 81 tahun itu.
Orang ramai turut berkumpul di bandar Ouargla di mana ribuan penunjuk perasaan melaungkan “rakyat mahu kejatuhan rejim”, slogan diambil daripada kebangkitan Arab (Arab Spring) pada 2011. – AFP, 24 Februari, 2019.
Komen