Arab Saudi lantik Puteri Rima duta ke Washington


Buat pertama kalinya Arab Saudi meletakkan seorang puteri sebagai dutanya. Puteri Rima Bandar dilantik sebagai duta ke Washington menggantikan Putera Khalid Salman. – Gambar AFP, 24 Februari, 2019.

ARAB Saudi meletakkan seorang puteri sebagai duta wanitanya yang pertama ke Amerika Syarikat (AS), satu pelantikan penting susulan kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi menjejaskan hubungan negara itu dengan sekutunya.

Putera Rima Bandar akan menggantikan Putera Khalid Salman, adik lelaki bongsu kepada Putera Mahkota yang dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan dalam satu perintah diraja yang diumumkan media negara itu.

Rombakan itu berlaku ketika Arab Saudi cuba meredakan bantahan antarabangsa berhubung kematian Khashoggi pada Oktober lalu di konsulat Arab Saudi di Istanbul, yang menyebabkan ketegangan negara itu dengan sekutu utamanya, Washington.

Selepas pada awalnya menafikan tahu tentang kehilangan Khashoggi, keluarga diraja itu akhirnya mengakui ejen Arab Saudi membunuhnya di dalam bangunan konsulat, tetapi menyifatkan ia sebagai operasi keganasan.

Puteri Rima akan berdepan dengan wakil rakyat AS yang mengugut mahu mengambil tindakan tegas terhadap Arab Saudi berhubung pembunuhan itu, dan mendakwa Putera Mahkota Mohammed Salman – pemerintah de-facto yang juga menteri pertahanan – bertanggungjawab secara peribadi.

Puteri Rima, anak perempuan kepada bekas duta paling lama berkhidmat di AS, selama ini memperjuangkan pemerkasaan wanita di Arab Saudi yang sekian lama berdepan kritikan terhadap layanannya kepada wanita.

Puteri itu sebelum ini bekerja di Pihak Berkuasa Sukan Am di Arab Saudi, di mana beliau mengetuai kempen meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang sukan.

Putera Khalid, anak lelaki kepada raja yang berkhidmat sebagai duta sejak 2017, dijangka meninggalkan Washington.

Pelantikannya sebagai timbalan menteri pertahanan dibuat ketika gabungan tentera diketuai Arab Saudi kekal bertahan dalam konflik empat tahun dengan negara jirannya, Yaman.

Ia selaras dengan pengumuman Putera Mahkota tentang rancangan perubahan ketenteraan dan rombakan komander pertahanan kanan yang dramatik. – AFP, 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen