HAKIM di Amerika Syarikat (AS) menetapkan ikat jamin AS$1 juta dikenakan terhadap bintang terkenal R. Kelly semalam selepas pihak pendakwa raya membentangkan butiran pertuduhan bahawa beliau melakukan serangan seksual terhadap empat mangsa, dengan tiga daripadanya di bawah umur.
Kelly yang terkenal dengan lagu hit “I Believe I Can Fly” menyerah diri kepada polis pada Jumaat selepas beberapa lama dituduh melakukan penderaan seksual terutama kanak-kanak perempuan bawah umur, akhirnya didakwa di mahkamah.
Kelly pernah dibebaskan daripada perbicaraan kes pornografi kanak-kanak lebih sedekad lalu, dan peminatnya masih kekal setia, membolehkannya terus menyanyi.
Bulan lalu, pendakwa raya di Chicago secara terbuka mencari mana-mana mangsa penyanyi itu.
Juri agung Chicago pada Jumaat mendakwanya atas 10 tuduhan penderaan seksual terhadap empat wanita, dengan paling muda berusia 14 tahun ketika kejadian, bagi tempoh antara 1998 dan 2010.
Jika disabitkan kesalahan, Kelly boleh dihukum penjara antara tiga hingga tujuh tahun bagi setiap pertuduhan.
Kelly hadir ke mahkamah yang penuh sesak dengan berbaju sejuk warna hitam dan tangannya bergari.
Mahkamah juga mengarahkan Kelly menyerahkan pasportnya.
Dalam perbicaraan ikat jamin, pendakwa raya turut memberi butiran kes – termasuk tuduhan mengejutkan bahawa Kelly menemui salah seorang mangsanya yang masih bawah umur ketika program menandatangani autograf pada 2008.
Mereka menunjukkan video Kelly berulang kali melakukan hubungan seks dengan mangsa berusia 14 tahun itu, dengan bukti DNA daripada kemeja T seorang lagi mangsa dikatakan padan dengan Kelly. – AFP, 24 Februari, 2019.
Komen