Ribuan meratap kematian 7 beradik warga Syria terbunuh di Kanada


Tujuh beradik dari keluarga pelarian Syria di Kanada, maut selepas rumah mereka terbakar pada Selasa lalu. – Gambar Facebook, 24 Februari, 2019.

KIRA-KIRA 2,000 orang menghadiri upacara pengebumian tujuh kanak-kanak daripada keluarga pelarian Syria yang maut awal minggu ini dalam kebakaran di sebuah rumah di Halifax, timur Kanada.

Ahmad Barho dan adik beradiknya Rola, Mohammed, Ola, Hala, Rana dan Abdullah yang berusia daripada empat bulan dan 15 tahun – semua rentung dalam satu kejadian kebakaran yang belum diketahui puncanya, di rumah mereka pada Selasa.

Bapa mereka, Ebraheim Barho turut cedera dalam kebakaran itu dan masih koma di hospital, menurut media Kanada.

Ibu mereka, Kawthar Barho yang cedera ringan hadir pada pengebumian itu.

Keluarga itu tiba di Kanada pada 2017, dan antara 40,000 pelarian yang diterima negara itu sejak 2015.

Pengebumian itu yang disiarkan di beberapa saluran berita, disempurnakan mengikut syariat Islam.

Berikutan jumlah yang datang terlalu ramai, ia tidak diadakan di masjid tetapi di dewan di tepi laut di Halifa, dengan 2,000 kerusi disediakan. Dewan itu penuh dan ramai yang terpaksa berdiri.

Ahli Parlimen Andy Fillmore berkata pihak berkuasa sedang berusaha membawa ahli keluarga Barho yang lain ke Kanada untuk memberi sokongan kepada Kawthar.

Tragedi itu menerima simpati dari seluruh Kanada dengan hampir setengah juta dolar diterima dalam bentuk sumbangan dalam tempoh beberapa hari.

Tujuh keranda kecil berwarna putih dibawa ke tapak perkuburan Islam berhampiran Halifax. – AFP, 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen