Kereta api bawa pemimpin Korea Utara tiba di China


Media mulai berkumpul di pusat media di Hanoi menjelang sidang kemuncak kedua antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. – Gambar EPA, 24 Februari, 2019.

KERETA api berperisai membawa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un tiba di China lewat semalam, beberapa hari sebelum menghadiri sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Vietnam.

Kereta api itu tiba di sempadan bandar Dandong selepas 9 malam waktu tempatan, menurut agensi berita Yonhap dan NK News.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA mengesahkan Kim berlepas dari Pyongyang awal hari semalam.

Turut menemani Kim ialah jeneral kanan Kim Yong Chol, yang bertemu Trump di White House bulan lalu, bersama beberapa pegawai tinggi.

Kereta api itu merentasi China selepas beberapa hari spekulasi dibuat tentang jadual perjalanan Kim, yang kekal rahsia, ketika pasukannya berkumpul di Hanoi menjelang rundingan yang dijangka diadakan pada Rabu dan Khamis depan.

Kawalan keselamatan sangat ketat sebelum ketibaan kereta api itu, dengan polis mengepung kawasan di depan sungai kira-kira 100m dari jambatan, menggunakan pita dan sekatan besi.

Tetamu di hotel berdepan jambatan dari Korea Utara itu tiba-tiba diminta keluar pada Jumaat dan dimaklumkan ia ditutup pada Sabtu untuk ubah suai.

“Kereta api itu panjang dan merentasi jambatan itu dengan lebih perlahan berbanding kereta api pelancong, tetapi sudah pasti itu dia kerana ada banyak polis,” kata seorang sumber kepada NK News. – AFP, 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen