Bashir pecat sekutu daripada jawatan naib presiden Sudan


Presiden Sudan Omar al-Bashir kini berdepan dengan kemarahan penduduk negaranya yang melancarkan protes besar-besaran menuntut beliau meletakkan jawatan. – Gambar EPA, 23 Februari, 2019.

PRESIDEN Sudan, Omar al-Bashir pada hari Sabtu memecat rakan sekutunya Bakri Hassan Saleh sebagai naib presiden pertama, sehari selepas membubarkan kerajaan bagi menghadapi protes di seluruh negara.

Menteri Pertahanan Awad Ibnouf dilantik bagi menggantikan Saleh, yang terlibat dalam rampasan kuasa yang didukung kumpulan islamis yang menyebabkan Bashir berkuasa sejak tiga dekad lalu, kata kenyataan presiden.

Langkah itu diambil selepas Bashir pada hari Jumaat mengumumkan keadaan darurat di seluruh negara dan membubarkan kerajaan persekutuan dan kerajaan wilayah bagi mengendurkan demonstrasi yang diadakan setiap minggu sehingga menyebabkan pemerintahannya terganggu.

Saleh, pembantu utama Bashir selama beberapa dekad, sebelum ini memegang beberapa portfolio menteri termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Pada bulan Mac 2017 beliau dilantik sebagai perdana menteri, yang pertama sejak Bashir merampas kuasa pada tahun 1989. Beliau kemudiannya digugurkan daripada jawatan itu.

Saleh juga merupakan penasihat kepada Bashir berhubung keselamatan negara dan ketua Perisikan dan Keselamatan Negara (NISS) yang mempunyai kuasa besar dalam negara itu pada tahun 1990-an.

Protes meletus di Sudan pada bulan Disember tahun lalu selepas keputusan kerajaan untuk memotong subsidi roti, dan penduduk negara itu segera melancarkan demonstrasi anti-kerajaan menuntut Bashir meletakkan jawatan.

Pihak berkuasa berkata 31 orang meninggal dunia dalam keganasan yang berkaitan protes dan demonstrasi, manakala Pemantau Hak Asasi mengatakan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh.

Para pemimpin protes telah menolak perisytiharan Bashir keadaan kecemasan dan berjanji untuk meneruskan demonstrasi kempen mereka sehingga dia digulingkan. – AFP, 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen