Kaedah baharu kutip tol bukan gula-gula PRK, kata Anwar


Diyana Ibrahim

Anwar Ibrahim berkata beliau yakin kaedah kutipan tol mengikut waktu dan caj kesesakan itu akan dapat membantu rakyat mengurangkan kos. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Februari, 2019.

KAEDAH baharu untuk kutipan tol yang diumumkan kerajaan hari ini bukan bukan gula-gula kepada pengundi untuk menang pilihan raya kecil Dun Semenyih, kata presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kaedah baharu yang dijalankan kerajaan dengan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang daripada syarikat konsesi telah dirancang beberapa minggu lalu, katanya.

Jelasnya, keputusan kerajaan itu merupakan langkah baik yang dapat meringankan beban rakyat.

“Menteri Kewangan  Lim Guan Eng beri maklum pada saya dah dalam dua, tiga minggu yang lalu untuk mempersiapkan perinciannya.

“Jadi saya tidak fikir begitu (gula-gula pilihan raya) sebab kerajaan dan berbincang awal,” katanya kepada pemberita di Semenyih malam ini.

Beliau menjawab ketikan bekas perdana menteri Najib Razak yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan pancing undi memandangkan pengumuman itu dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Dun Semenyih.

Kempen pilihan raya kecil Dun Semenyih masuk hari ketujuh hari ini sebelum pengundian berlangsung pada 2 Mac.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau yakin kaedah kutipan tol mengikut waktu dan caj kesesakan itu akan dapat membantu rakyat mengurangkan kos dan ia masih di peringkat permulaan.

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program rumah terbuka untuk sambutan Chap Goh Meh di Semenyih.

Rancangan pengambilalihan empat lebuh raya bertol di Lembah Klang kendalian Gamuda Berhad itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri petang ini.

Melalui kaedah baharu itu, kutipan tol akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.

Kadar kutipan tol semasa waktu puncak dikekalkan dan dikenali dengan nama caj kesesakan. Kadar semasa waktu biasa dikenakan diskaun 30% dan percuma untuk waktu bukan puncak.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen