DUA bekas menteri komunikasi ditangkap di Vietnam pada hari Sabtu kerana menyelewengkan dana awam berhubung peranan mereka yang menyelia pembelian sebuah syarikat televisyen yang menelan belanja jutaan dolar.
Truong Minh Tuan dan Nguyen Bac Son disiasat kerana “pelanggaran undang-undang mengenai pengurusan dan penggunaan dana awam sehingga menyebabkan akibat yang serius,” kata Kementerian Sekuriti Awam.
Penangkapan mereka dilakukan ketika kempen anti-rasuah yang dipengaruhi tindakan keras kerajaan China terhadap rasuah.
Puluhan pegawai bank, ahli perniagaan dan pegawai kerajaan dipenjarakan di Vietnam sejak 2016 apabila kempen itu mula mendapat sokongan. Sesetengah pemerhati mengatakan bahawa kempen tersebut memiliki motif politik.
Tuan dan Son dituduh meluluskan pembelian syarikat televisyen swasta Audio Visual Global (AVG) pada tahun 2015 oleh Mobifone firma telekomunikasi negara itu secara haram.
AVG dan Mobifone bagaimanapun tidak melalui proses pembelian pada akhirnya, namun para pegawai mengatakan hal tersebut menyebabkan kerugian AS$300 juta dana negara tersebut.
Son, yang merupakan seorang menteri dari 2011 hingga 2016, dituduh menandatangani perjanjian dengan sokongan Tuan - iaitu timbalannya ketika beliau mengambil alih jawatan menteri sehingga dipecat pada Julai tahun lalu. – AFP, 23 Februari, 2019.
Komen